Home Berita PAS Terengganu

Terengganu lakar langkah pertama ke arah hab tenaga hijau

10
SHARE

HULU TERENGGANU – Tasik Kenyir terus mencipta sejarah apabila menjadi lokasi peluncuran projek mega tenaga boleh baharu melibatkan pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud itu disifatkan sebagai satu langkah berani dan futuristik, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan tenaga hijau negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek berimpak tinggi itu bakal menyaksikan pembinaan ladang solar terapung berskala besar sehingga 2,500 megawatt (MW) di atas permukaan air Tasik Kenyir, menjadikannya antara yang terbesar di Asia Tenggara.

“Projek ini bukan sahaja simbol komitmen kerajaan terhadap agenda kelestarian alam sekitar, malah bukti kerjasama erat antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti TNB Genco, PETRONAS dan anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Inc.

“Kita sedang menyaksikan transformasi sektor tenaga melalui penerokaan sumber bersih seperti hidro dan solar, selari dengan hasrat mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Kerjasama dimeterai menerusi pertukaran dokumen semasa majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, di Kenyir.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan projek ini akan turut merintis kepada pembinaan Hab Hidrogen Hijau pertama di Terengganu, yang dijangka menjadi pemacu ekonomi hidrogen negara.

“Kerajaan Negeri yakin bahawa peralihan tenaga ini bukan halangan, sebaliknya peluang untuk mengukuhkan daya saing ekonomi serta mencipta peluang pekerjaan baharu.

“Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, pelabur dan penyelidik, kita bukan sahaja menunaikan janji, tetapi membina legasi. Inisiatif ini bakal memberi manfaat besar kepada generasi kini dan akan datang,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, dengan peluncuran projek tersebut, Terengganu kini melakar langkah pertama ke arah menjadi hab tenaga hijau serantau, selari dengan misi nasional membina masa depan yang lebih bersih dan mampan.

“Insya-Allah, ini akan menjadi legasi berpanjangan buat anak cucu kita nanti,” katanya.