KUALA TERENGGANU – Aktiviti mencandat sotong memiliki potensi besar untuk mengangkat imej negeri dan negara di persada antarabangsa.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datin Rafidah Idris berkata, pihaknya mendapat maklum balas dari media luar yang menyatakan bahawa aktiviti berkenaan dapat menarik minat pengunjung negara yang gemarkan makanan eksotik laut seperti Korea Selatan dan Jepun.
“Merupakan salah satu program ikonik sektor pelancongan marin dan komuniti tempatan Terengganu, ia dirancang menjadi acara tahunan kalendar pelancongan negara pada masa akan datang.
“Objektifnya, kita mahu angkat candat sotong sebagai produk pelancongan maritim bertaraf antarabangsa.
“Ia dapat dijayakan dengan menawarkan pengalaman pelancongan menarik khususnya di Terengganu dan membangunkan pakej pelancongan baharu bertemakan laut dan budaya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Candat Sotong X Program Madani Rakyat di Payang Walk, semalam.

Tambahnya, acara yang menjadi pengisian utama Program Madani Rakyat itu buat julung kali dianjurkan Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia bagi mempromosikan aktiviti tradisi yang cukup sinonim dalam komuniti maritim pantai timur, sekaligus merancakkan lagi musim mencandat sotong 2025 yang dilancarkan pada Mei lalu.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa MOTAC, Young Ee Chin yang diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif dan Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Jusman Ibrahim.
Rafidah memaklumkan, Karnival Candat Sotong bakal diadakan pada sekali lebih besar tahun hadapan dengan jangkaan kehadiran lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara.
“Dari segi promosi kita akan besarkan lagi.
“Sebagai badan promosi, kami memberikan idea bagaimana infrastruktur yang boleh dibangunkan dalam usaha menerima lebih ramai pengunjung.
“Penduduk tempatan sendiri turut teruja dengan penganjuran ini. Saya rasa ramai rakyat Malaysia yang belum merasai kesempatan ini, dan saya mengalu-alukan kedatangan mereka tahun hadapan,” katanya.