Home Berita PAS Terengganu

Dr. Khalil Kunjungi Komuniti Melayu di Sri Lanka

5
SHARE

SRI LANKA – Rombongan Kerajaan Negeri Terengganu telah mengadakan lawatan ke Sri Lanka dan berpeluang bertemu dengan komuniti Melayu tempatan yang telah lama menetap di negara tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, komuniti Melayu Sri Lanka dianggarkan berjumlah sekitar 50,000 orang.

Menurutnya, mereka mempunyai sejarah yang panjang dan telah berakar umbi sejak lebih 100 tahun lalu.

“Pada asalnya, mereka dibawa masuk oleh pihak Empayar British untuk berkhidmat dalam pelbagai sektor, terutamanya dalam bidang ketenteraan dan kepolisan.

“Walaupun telah lama menetap jauh dari tanah air asal, komuniti ini tetap mempertahankan identiti, warisan budaya dan agama Islam dalam kehidupan seharian mereka,” katanya kepada pemberita semasa siri lawatan bersama komuniti Melayu di Sri Lanka semalam.

Dr. Khalil berkata, pertemuan tersebut bukan sahaja membuka ruang untuk menyambung silaturahim, malah menjadi langkah penting dalam menyemarakkan semula hubungan rumpun Melayu yang sekian lama terpisah akibat faktor geografi dan sejarah penjajahan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu akan menganjurkan Terengganu International Summit pada November 2025.

“Dengan tema Penyatuan Ummah Rumpun Melayu, sidang ini bakal menjadi platform untuk memperkukuh jalinan serantau serta memperingati warisan sejarah yang dikongsi bersama.

“Moga ikatan ini mampu menyumbang kepada usaha penyatuan ummah di peringkat antarabangsa, bermula daripada akar budaya dan keturunan yang sama,” ujarnya.