Home Berita PAS Terengganu

500 Penduduk Bukit Puteri Berhimpun

11
SHARE

BESUT – Lebih 500 penduduk sekitar Mukim Bukit Puteri berhimpun di Kampung Dengir sempena Program Sukan Rakyat Peringkat Mukim 2025 yang dianjurkan secara bersama oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta komuniti setempat.

Program yang berlangsung dalam suasana ceria dan penuh harmoni itu bukan sekadar menjadi medan riadah dan hiburan, bahkan memperkukuh ukhuwah Islamiah, menyemai semangat kejiranan serta memartabatkan warisan sukan tradisional Melayu Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, kekuatan sesebuah komuniti Islam bermula dari kampung yang bersatu dan membudayakan nilai kasih sayang serta akhlak yang baik.

“sukan rakyat bukan semata-mata untuk hiburan tetapi menjadi platform membina silaturrahim dan menanam nilai-nilai murni seperti sabar, toleransi dan semangat berpasukan dalam kalangan masyarakat setempat,” ujarnya, di sini, semalam.

Beliau turut memuji penganjuran program yang menjaga adab, aurat serta waktu solat, selari dengan tuntutan syariah Islam, menjadikannya satu bentuk ibadah yang diterima apabila dilakukan dengan niat yang betul dan hati yang ikhlas.

Pengerusi Mukim Bukit Puteri, Tuan Abdullah Mat Ismail pula melahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima serta kerjasama erat daripada seluruh lapisan masyarakat.

“Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dalam komuniti, malah menghidupkan semula semangat gotong-royong yang menjadi asas kepada kekuatan sesebuah kampung,” ujarnya.

Antara acara yang dipertandingkan ialah Titi Basikal, Pukul Bantal Atas Air, Bowling Muslimat, Kupas dan Kukur Kelapa, Tiang Licin, Memancing, Igak Itik, Masak Ikan Darat, Bidas/Lastik, Tarik Tali dan pelbagai aktiviti santai keluarga serta cabutan bertuah.

Keseluruhan program berjalan lancar dengan penyertaan peserta lelaki dan wanita yang mematuhi adab berpakaian serta tertib mengikut syariat Islam, menjadikan ukhuwah yang terjalin itu sebagai kemenangan sebenar yang diraih bersama.

Program ini menjadi simbol kekuatan masyarakat Islam yang bersatu atas dasar agama, nilai kasih sayang dan kecintaan kepada komuniti.