Home Berita PAS Terengganu

Sasar jadi model tadbir urus, integriti terbaik negara – MB

11
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu bertekad untuk muncul sebagai contoh terbaik dalam tadbir urus pentadbiran di Malaysia dengan menampilkan sistem pengurusan yang cekap, telus dan berintegriti tinggi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, aspirasi tersebut hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat dan komitmen tinggi seluruh penjawat awam yang menjadi tulang belakang pelaksanaan dasar dan pentadbiran negeri.

“Apa yang saya cita-citakan, biarlah penjawat awam di seluruh negara akan menyebut kalau nak tengok pentadbiran yang efisien dan menyeluruh, pergilah ke Terengganu,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.

Dalam majlis itu seramai 60 penerima dari pelbagai skim perkhidmatan meliputi kumpulan pengurusan, profesional serta pelaksana dari jabatan dan agensi kerajaan negeri telah menerima anugerah sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan mereka.

Menurut Ahmad Samsuri, kecemerlangan perkhidmatan awam tidak hanya dinilai melalui pencapaian kerja semata-mata, tetapi turut merangkumi aspek sahsiah, etika dan integriti.

“Menjadi penjawat awam bukan sekadar menjalankan tugas, malah harus menjadi teladan dalam masyarakat dari segi akhlak dan profesionalisme,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa penjawat awam adalah tunjang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan dan pelaksanaan dasar secara menyeluruh.

Justeru, katanya, elemen seperti disiplin kerja, kebolehsuaian terhadap perubahan, serta keupayaan menangani cabaran teknologi dan komunikasi digital masa kini perlu sentiasa dipertingkatkan.

“Mereka juga perlu peka dan responsif terhadap isu-isu yang tular di media sosial. Bukan semestinya menjawab semua perkara, tetapi bijak menilai antara fakta, fitnah dan kritikan membina,” ujarnya.

Tambah beliau, berbeza dengan era pentadbiran terdahulu, penjawat awam kini perlu lebih tangkas menghadapi kecaman atau aduan rakyat yang disuarakan secara terbuka dan sepantas masa nyata melalui platform digital.

“Dulu kita terima aduan menerusi surat pembaca, sekarang semuanya berlaku secara langsung di media sosial, 24 jam sehari. Ia tidak boleh diabaikan, sebaliknya perlu ditangani dengan pendekatan yang strategik dan berhemah,” katanya.

Ahmad Samsuri turut menekankan bahawa keberkesanan sistem pentadbiran akan memberi impak yang besar bukan sahaja kepada jabatan atau individu tertentu, tetapi turut mencerminkan nama baik negeri di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Apa jua yang kita lakukan hari ini bukan hanya dinilai oleh rakyat Terengganu, tetapi juga oleh rakyat negeri lain dan pemerhati dari luar negara. Terengganu mesti dilihat sebagai negeri contoh,” tegas beliau.

Ahmad Samsuri turut menyeru seluruh penjawat awam agar terus menyemarakkan budaya kecemerlangan dan menjadikan setiap amanah perkhidmatan sebagai ibadah yang membawa keberkatan dunia dan akhirat.