Home Berita PAS Terengganu

KDNK Terengganu cecah 4.5 peratus, lebihi sasaran – MB

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu bagi tahun 2024 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus, sekali gus melepasi unjuran awal antara 3.5 hingga 4.1 peratus seperti yang disasarkan dalam Belanjawan 2024.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan negeri dalam menyusun semula ekonomi secara lebih berdaya tahan.

“Alhamdulillah, kita secara umumnya telah mencapai apa yang kita sasarkan. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan KDNK Terengganu berkembang 4.5 peratus kepada RM39.9 bilion pada tahun 2024 berbanding 2.3 peratus pada tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan ini didorong oleh pemulihan ekonomi global dan kejayaan pengstrukturan ekonomi negeri yang lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Mengulas lanjut, beliau mengumpamakan usaha pembangunan negeri seperti menaiki anak tangga secara berhemah dan berperingkat berbanding melompat seperti sukan ekstrem parkour.

“Kita nak naik ke atas, ada 15 anak tangga. Kita ada pilihan sama ada lompat dua-dua anak tangga atau naik satu-satu. Yang penting, kita sampai ke atas.

“Tapi adakah praktikal untuk kita melompat seperti parkour? Kita tak mahu tersepak kaki, tak mahu jatuh tangga. Biarlah perlahan, ambil masa, asalkan kita bergerak ke arah yang betul,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri komited meneruskan langkah-langkah strategik bagi memastikan kemajuan negeri kekal mampan dan inklusif selari dengan visi Terengganu sebagai negeri maju, berkat dan sejahtera.