Home Berita PAS Terengganu

DUN Terengganu Kutuk Israel

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam sebulat suara meluluskan usul membantah dan mengutuk tindakan kejam rejim Zionis Israel yang telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran dengan menyasarkan kemudahan strategik dan infrastruktur penting negara tersebut baru-baru ini.

Usul dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim itu menyeru Dewan mengambil maklum dan memandang serius tindakan agresif rejim Zionis Israel yang telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara tersebut.

“Serangan ini berlaku di luar wilayah Israel sendiri dan jelas merupakan satu bentuk pencerobohan yang melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta prinsip asas kedaulatan negara-negara bebas.

“Tindakan Israel ini juga dilihat sebagai usaha untuk mencetuskan ketegangan yang lebih meluas di rantau Asia Barat, menjejaskan kestabilan serantau, dan membuka jalan kepada campur tangan kuasa luar demi kepentingan geopolitik mereka,” ujarnya.

Katanya, umat Islam di seluruh dunia memandang serangan ini sebagai satu penghinaan terhadap prinsip keadilan, kedaulatan dan keselamatan negara umat Islam, serta satu bentuk penjajahan moden yang semakin berani dan biadab.

“Umat Islam wajib bersolidariti menolak pencerobohan seumpama ini, menzahirkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk keganasan negara (state terrorism) yang dilakukan oleh Israel, serta menolak sebarang percubaan kuasa besar untuk memecah-belahkan kesatuan Ummah melalui konflik proksi dan adu domba mazhab atau bangsa.

“Penubuhan Israel sendiri adalah hasil projek penjajahan untuk melindungi kepentingan Barat di Timur Tengah, mengawal sumber strategik, dan menjadi alat tekanan terhadap dunia Islam,” jelas beliau.

Justeru, Kerajaan Negeri di bawah SG4 mengecam dan menolak sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Iran serta apa-apa bentuk pencerobohan ke atas mana-mana negara berdaulat.

“Kerajaan Negeri melalui saluran diplomasi dan NGO Islam digesa untuk mendukung usaha kesedaran awam mengenai bahaya Zionisme dan peranan Israel dalam menaja ketidakstabilan di dunia Islam.

“Kerajaan Malaysia hendaklah mengambil pendirian konsisten untuk mengutuk pencerobohan ini di peringkat antarabangsa termasuk dalam sidang ASEAN, OIC, dan PBB, serta mendesak tindakan diplomatik dan undang-undang antarabangsa ke atas Israel,” ujarnya.

Malah katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hendaklah segera bersidang dan mengeluarkan resolusi bersama yang tegas, termasuk langkah diplomatik dan ekonomi, untuk menekan Israel agar menghentikan sebarang tindakan agresif dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Semua negara Islam diseru untuk mengetepikan perpecahan dalaman dan bersatu menolak campur tangan kuasa luar yang hanya mahu melemahkan kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan dunia Islam,” ujarnya.