Home Berita PAS Terengganu

Ucapan Zahid Bahaya Kepada Akidah

48
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengungkapkan kata-kata menyentuh nama Allah SWT dan para malaikat disifatkan boleh membawa risiko terhadap kefahaman akidah umat Islam.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Haji Ahmad Yahaya berkata, ungkapan seperti itu boleh menggambarkan Allah SWT seolah-olah tidak bijaksana dalam membuat ketetapan, serta mencemarkan martabat para Malaikat yang maksum dan sentiasa taat kepada perintah-Nya.

“Ucapan tersebut sangat membimbangkan kerana boleh memberi konotasi negatif terhadap dzat Allah yang Maha Mengetahui serta memperlekeh peranan Malaikat yang tidak pernah engkar terhadap sebarang perintah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, penggunaan nama Allah dan Malaikat dalam bentuk perbandingan politik tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila ianya dilafazkan dengan nada mendabik dada.

“Apabila perkara sebegini disebut oleh seorang tokoh politik berprofil tinggi, ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam dan memberi kesan buruk kepada sensitiviti umat Islam,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, DUPP turut menyentuh isu integriti apabila mengingatkan bahawa kes Zahid Hamidi pernah melepasi fasa prima facie di mahkamah, sebelum ditarik balik oleh Peguam Negara ketika itu.

“Ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan atau dijadikan ‘penyelamat’ kepada partinya.

“Malah ia mengundang persoalan besar terhadap kredibiliti sistem keadilan negara,” tambah beliau.

DUPP menyeru agar Zahid menginsafi keterlanjuran tersebut dan memohon keampunan kepada Allah SWT, kerana ia menyentuh perkara yang amat sensitif dalam agama.

“Pemimpin politik perlu lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam tutur kata.

“Hal berkaitan akidah bukan perkara remeh. Terlajak kata dalam perkara agama boleh membawa padah yang besar,” tegasnya.