Home Berita PAS Pahang

Muslimat sebagai jantung kekuatan parti – Gelombang besar merempuh benteng lawan

113
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

TEMERLOH, 7 Jul – “Muslimat bukan lagi sekadar pelengkap perjuangan Islam, tetapi kini menjadi jantung kepada kekuatan Parti PAS,” tegas YB Dato’ Rosli Abdul Jabar, Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Lumpur yang merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pahang Kali ke-37 di Sungai Gau di sini semalam.

Beliau menyeru seluruh jentera muslimat agar terus memperkukuh peranan sebagai penggerak utama parti dalam usaha memastikan PN Teraju Pahang menjadi gelombang besar yang mampu merempuh benteng lawan.

“Tugasan kita sebagai khalifah Allah bukan terletak hanya di bahu muslimin tetapi juga muslimat, yang telah membuktikan keupayaan melahirkan pimpinan berwibawa, malah bekerja tanpa mengira upah. Kita tidak mempunyai dana, tetapi dengan akal dan kudrat yang ada, mesti diperah secepat mungkin untuk menawan keyakinan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, gerak kerja muslimat yang gigih turun ke tengah masyarakat perlu diteruskan bagi memenangi hati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

“Tugas kita tunjukkan akhlak pemimpin PAS, bukan sekadar nampak baik, tetapi diyakini baik,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang, YB Hajah Salamiah Mohd Nor pula mengingatkan seluruh ahli supaya sentiasa bersedia berkorban masa, tenaga dan idea tanpa mengira pangkat.

“Pengorbanan menuntut kita menilai persiapan diri sebagai pemimpin di pelbagai peringkat. Kita ini jentera yang bergerak tanpa bayaran, tanpa alasan. Kita tidak lagi di pinggir tetapi sudah berada di tengah-tengah medan,” katan beliau yang juga sebagai Ahli Parlimen Temerloh.

Beliau turut menekankan pentingnya muslimat PAS merancang dan melaksanakan program secara berterusan di semua peringkat lajnah.

“Jangan tunggu arahan dari atas semata-mata. Di mana kita berdiri, di situlah kita laksanakan amanah. Jaga imej parti dengan bertindak segera, turun padang, cakna dan sentiasa bersama rakyat,” ujarnya lagi.

Salamiah juga mengingatkan peranan lajnah-lajnah seperti Kebajikan, Perpaduan Nasional, Ameerah dan Nusaibah supaya sentiasa mendokong ADN dan Ahli Parlimen PAS dalam mengurus keperluan rakyat.

Muktamar kali ini dihadiri hampir 300 orang yang terdiri daripada para perwakilan, pemerhati, tetamu jemputan termasuk isteri-isteri Ahli Parlimen dan ADN, pemerhati dari Dewan Muslimat PAS Malaysia Huda Nordin, pemerhati dari Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang Muhamad Osman Kateran, serta petugas yang terdiri daripada pasukan Ameerah dan Briged Muslimat.