Home Berita PAS Terengganu

INSTEP Buka Peluang Belia Terengganu Teroka Kerjaya Tenaga Bernilai Tinggi

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi latihan berimpak tinggi dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan perancang strategik yang bakal membentuk masa depan industri tenaga negara.

Dengan keluasan kampus hampir 81 hektar serta kemudahan loji latihan bertaraf industri, INSTEP menyediakan silibus latihan komprehensif yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman luas dalam sektor minyak dan gas.

Sebagai komitmen berterusan dalam pembangunan modal insan, INSTEP memperkenalkan Technical Energy Enrichment Programme (TEP) pada tahun 2021, khusus untuk memberi pendedahan awal kepada lepasan diploma terhadap dunia sebenar industri minyak dan gas.

Program ini telah membuka ruang dan peluang kepada ramai belia, khususnya dari negeri Terengganu, untuk menceburi bidang kerjaya dalam sektor tenaga yang bernilai tinggi dan menjanjikan masa depan yang cerah.

Dengan pendekatan hands-on dan latihan simulasi dunia sebenar, INSTEP dilihat bukan sekadar pusat latihan, tetapi institusi transformatif dalam membentuk bakat tenaga kerja masa depan negara..

Haizlin Sulaiman

Kisah kejayaan Haizlin Sulaiman, 52, membuktikan bahawa pendidikan vokasional yang terstruktur mampu melahirkan bukan sahaja tenaga kerja mahir, malah pemimpin industri yang berdaya saing.

Beliau yang kini mengetuai Jabatan Pengeluaran di Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB), memulakan perjalanan kerjayanya sebagai pelatih Skim Latihan Perantis PETRONAS di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) lebih tiga dekad lalu.

“Mula-mula saya masuk sebagai juruteknik, tangan berlumur minyak, pakai baju coverall, bergelut dengan mesin di tengah syif malam. Tapi segalanya bermula di INSTEP,” katanya ketika berkongsi pengalaman.

Menurut Haizlin, INSTEP bukan sahaja memberi latihan teknikal, malah membentuk nilai disiplin dan kepimpinan yang menjadi asas penting dalam dunia kerjaya.

“Dulu saya sama seperti pelatih hari ini, terpesona dengan bunyi jentera loji simulasi, terpaku di depan papan putih bilik kuliah dan dibimbing oleh mentor yang berpengalaman,” ujarnya.

Tambah beliau, perjalanan dari bengkel latihan ke bilik mesyuarat pengurusan memberinya satu pengajaran penting, setiap peranan mempunyai nilai, dan setiap cabaran adalah peluang untuk berkembang, bukan hanya sebagai pekerja, tetapi sebagai insan yang menyumbang kepada kemajuan industri.

Kisah Haizlin menjadi inspirasi kepada ramai anak tempatan di Terengganu dan seluruh negara, khususnya dalam melihat bagaimana pendidikan teknikal dan vokasional mampu membuka laluan kerjaya yang cemerlang dalam sektor tenaga.

Kamarul Ariffin Tajul A’mar

Tenaga pengajar terlatih, Kamarul Ariffin Tajul A’mar yang mempunyai tiga dekad pengalaman dalam bidang operasi termasuk persekitaran luar pesisir dan penempatan antarabangsa turut berkongsi cerita tentang INSTEP.

Menurutnya, di INSTEP, mereka tidak hanya mengajar berdasarkan buku teks tetapi juga menyampaikan pengalaman sebenar.

“Saya amat faham cabaran dan piawaian tinggi yang diperlukan dalam industri minyak dan gas.

“Selain daripada kemahiran mengendalikan peralatan, pelatih juga diterapkan amalan secara profesional yang berintegriti menyelesaikan masalah di bawah tekanan, dan mengutamakan keselamatan,” ujarnya.

Kamarul berkata dia mendapat satu kepuasan yang tidak ternilai apabila melihat perubahan mereka daripada individu yang kurang yakin kepada tenaga kerja yang bersedia.

Kisah Haizlin yang menjadi antara lebih 300 alumni TEP dan Kamarul Ariffin sebagai tenaga pengajar profesional adalah bukti bahawa pendidikan vokasional bukan sekadar laluan alternatif, tetapi satu pelaburan strategik demi menjana masa depan negara yang berdaya saing dan meningkatkan taraf kehidupan.