Home Berita PAS Terengganu

Bangkit Selepas Tragedi Bas UPSI

10
SHARE

Oleh : Nor Amira Amijudin

BESUT – Tragedi yang menimpa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini di Gerik tidak memadamkan semangat mereka untuk terus menuntut ilmu.

Salah seorang mangsa, Nik Khairulnisa Ruzmi, kini telah bersedia untuk kembali ke kampus meneruskan pengajian selepas melalui fasa pemulihan yang mencabar.

Menurut kakitangan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Nor Asiah Adni Adnan berkata, para pelajar yang diziarahi menunjukkan semangat yang semakin pulih meskipun ada dalam kalangan mereka masih menggunakan kerusi roda, terlantar sakit, dan mengalami kecederaan anggota.

“Alhamdulillah, masing-masing kelihatan semakin ceria dan bersemangat.

Walaupun melalui detik yang sukar, mereka tetap tabah dan kuat menghadapi ujian ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas program ziarah Prihatin UPSI di daerah Besut, pada semalam.

Menurutnya,  seramai 13 pelajar UPSI yang terlibat dalam tragedi disantuni.

Tambah Asiah lagi, tiga kumpulan digerakkan serentak bersama seorang kaunselor, bertujuan menyampaikan bantuan fizikal dan memberikan sokongan psikososial secara langsung kepada pelajar serta keluarga.

“Ziarah ini bukan sekadar membawa barangan keperluan.

“Malah menjadi simbol sokongan moral dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap anak-anak Terengganu yang menuntut ilmu di perantauan,” tambah beliau.

Kata Asiah, kisah Nik Khairulnisa kini siap siaga kembali ke UPSI menjadi lambang kekuatan jiwa dan semangat kebangkitan selepas melalui tragedi.

Beliau merupakan antara pelajar yang terkesan, namun telah menunjukkan kesungguhan luar biasa untuk tidak menjadikan peristiwa hitam itu sebagai penghalang kepada cita-cita.

Selain itu, program ini juga memberi mesej penting bahawa dalam setiap ujian, sentiasa ada tangan yang menghulur bantuan, dan dalam setiap luka, ada ruang untuk bangkit dan terus melangkah ke hadapan.

Program Ziarah Prihatin UPSI merupakan anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).