Home Berita PAS Terengganu

Teknologi Senjata Nuklear Halal Kepada Israel Haram Kepada Negara Islam

8
SHARE

Republik Islam Iran yang mencapai kemajuan teknologi tinggi termasuk dalam lapangan tenaga nuklear, mereka berpegang kepada fatwa ulama’ yang mengharamkan penggunaan senjata pemusnah yang melampau dalam peperangan, kerana menuruti perintah Allah SWT dalam firman-Nya:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Rasulullah SAW, para khalifah, dan para raja Islam yang berdaulat diwajibkan oleh Allah SWT dengan nas al-Quran tersebut. Maka, para panglima yang berperang diarahkan supaya tidak melampau dalam peperangan menghadapi musuh, di samping dilarang membunuh mereka yang bukan dalam kalangan tentera, khususnya kanak-kanak, kaum wanita, warga tua, dan para agamawan seperti paderi dan sami yang berada di dalam rumah ibadat.

Begitulah ketetapan para ulama’ semua mazhab dalam Islam, baik daripada Sunni, Syiah, mahupun Ibadi yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Walaupun Islam mendapat kemenangan dan memerintah negara, Allah mewajibkan umat Islam agar tidak melakukan paksaan terhadap penganut agama lain untuk memeluk Islam, malah memberi mereka kebebasan untuk beramal dengan agama masing-masing, meskipun berdakwah adalah wajib kepada semua manusia. Hal ini demikian kerana, menganut Islam itu wajib dengan keikhlasan hati tanpa paksaan.

Perkara ini termasuklah terhadap musuh yang berperang menentang Islam daripada penganut berbagai-bagai agama, apabila mereka menceroboh dan memaksa umat Islam dengan peperangan, maka umat Islam diwajibkan berperang menentang mereka tanpa melampau, berpandukan firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” [Surah al-Hajj: 40]

Setelah mencapai kejayaan menegakkan negara Islam, umat Islam diperintahkan dengan wahyu untuk bangkit menentang musuh yang mahu menceroboh dan menyerang bagi menjatuhkan kerajaan Islam. Hal ini disebabkan keadilannya kepada semua berjaya mempengaruhi rakyat yang mendapati bahawa Islam ialah penyelamat, bukan penjajah apabila menjatuhkan kerajaan zalim yang memperhambakan rakyat.

Tiba-tiba, terkini negara Islam dilarang dan dihalang daripada mencapai kemajuan dalam lapangan sains tenaga, walaupun ia hanya bertujuan keamanan, bukan peperangan. Semua negara Islam yang membangun dan membina kemajuan tenaga, diserang dengan ganas tanpa mengambil kira mazhab dan ideologi walaupun ideologi mereka sama dengan negara penjajah itu ketika diberikan kemerdekaan. Namun, merdeka yang mengikat dengan syarat negara itu tidak kembali kepada negara Islam yang asal.

Libya dan Iraq diserang dan dimusnahkan kemajuan mereka. Pakistan yang membina kemajuan tenaganya juga diancam dengan India yang bekerjasama membina senjata nuklear dengan Israel. Maka, Pakistan bersedia dengan senjata nuklearnya bagi menghadapi ancaman India tanpa menggunakannya dalam beberapa siri peperangan.

Negara-negara Islam di bawah pengaruh penjajah dibekalkan senjata yang tidak boleh mengatasi Israel dan negara-negara yang bersamanya. Senjata dibekalkan kepada negara-negara Islam bagi tujuan adu domba peperangan saudara kerana perbezaan mazhab, kaum, kabilah, dan krisis sempadan, di samping untuk merebut kawasan minyak yang menjadi hasil utama kawasan tersebut.

Kerajaan Republik Islam Iran mencapai kemajuan teknologi, termasuk persenjataan tanpa nuklear dan satu-satunya negara yang membantu sepenuhnya kumpulan Islam mujahidin Sunni di Palestin (Hamas, Tanzim Jihad, dan lain-lain) dari sudut kewangan dan persenjataan yang tidak melampau, sehingga boleh mengalahkan tentera Israel yang dibantu dengan segala jenis senjata oleh kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah. Keadaan ini menyebabkan semua negara bersekutu mengumpulkan bala tentera, di samping banyak pangkalan tentera Barat yang sudah bertapak di Asia Barat bagi mengganyang para mujahidin Palestin dan Iran.

Tiba-tiba, dikenakan larangan kemajuan dalam lapangan teknologi nuklear terhadap Iran yang mempunyai segala jenis senjata dianggap menjadi ancaman kepada pertahanan Israel, sehingga dicadangkan perdamaian yang membodohkan supaya dapat ditubuhkan sebuah negara Palestin yang boleh menjadi boneka Israel, menghapuskan kumpulan Islam, dan melucutkan senjata Iran. Adapun Israel pula dibebaskan daripada segala-galanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan International Atomic Energy Agency (IAEA) dipergunakan. Adapun negara Islam dan khususnya negara Arab diminta melakukan normalisasi bagi mengiktiraf negara haram Israel. IAEA yang ditubuhkan bagi mengawal kewujudan senjata pemusnah melakukan ‘double standard’ apabila membenarkan segala jenis senjata pemusnah kepada negara bukan Islam, khususnya Israel dan Amerika Syarikat yang melampau dalam peperangan mereka terhadap negara lain.

Negara Islam dan Arab pula berpecah belah. Ada kalangan negara yang melakukan normalisasi dengan Israel, ada yang sedang bersedia melakukannya, dan ada pula negara yang menjadi syaitan bisu yang menjadi pendamai, malah ada juga yang mengecewakan. Hanya segelintir negara sahaja yang membuat kenyataan berpihak kepada pejuang Palestin bersama Iran seperti Pakistan, Yaman, Mesir, Arab Saudi, Algeria, Iraq, kumpulan Islam di Lubnan, dan lain-lain.

Allah SWT mewajibkan negara Islam mempunyai kekuatan bersenjata bagi menghadapi musuh. Firman Allah SWT:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka apa-apa saja kekuatan yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]

Ayat ini menunjukkan dasar umum supaya negara Islam wajib menyediakan kekuatan ketenteraan dan persenjataan mengikut keadaan semasa, dengan sempadan tidak melampau dan tidak zalim dalam peperangan.

Pada zaman keemasan, negara Islam pernah menjadi kuasa besar tunggal di dunia yang dapat melindungi dakwah serta mempertahankan tanah air dan umat Islam daripada pencerobohan musuh, di samping membebaskan rakyat negara yang zalim. Islam dianggap penyelamat, bukan penjajah seperti kuasa besar yang lain.

Allah SWT mewajibkan berlaku adil kepada semua walaupun dalam keadaan berperang, bukan sahaja ketika damai, malah tidak melampau dalam peperangan. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil! Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]

Apabila ada kalangan tentera Islam melampau terhadap musuh pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat serta selepas mereka yang beramal dengan hukum Islam, maka tentera Islam membayar pampasan kepada musuh, walaupun belum ada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan PBB pada masa itu.

Peperangan Taufan al-Aqsa yang melibatkan kumpulan Islam Hamas dan Tanzim Jihad, diikuti serangan balas Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menunjukkan perbezaan antara Islam dengan Zionis bersama sekutunya yang disaksikan oleh seluruh dunia. Hal ini terbukti apabila kumpulan Islam tidak melampau dalam peperangan kerana hanya menyasarkan tentera Zionis dan kemudahannya sahaja bersama pendatang Yahudi yang diberikan latihan ketenteraan yang mengganas, sebaliknya tidak menyasarkan kawasan awam.

Keadaan ini berbeza dengan tentera Zionis dan sekutunya yang menyerang kawasan awam, termasuk hospital, pasar, sekolah, khemah perlindungan, serta pusat bantuan dan media antarabangsa, sehingga mengorbankan ramai kanak-kanak, warga tua, pesakit, sukarelawan, dan wartawan.

Selain itu, tawanan Yahudi turut dilayan dengan baik, malah diakui oleh mereka yang dibebaskan yang berani mengucapkan terima kasih kerana layanan kemanusiaan yang ditunjukkan. Keadaan ini berbeza dengan rakyat Palestin yang ditahan dan diseksa dengan kejam.

Apa yang berlaku menyebabkan Israel dibantah oleh seluruh pelosok dunia, sehingga mereka hilang pengaruh dan sokongan selama ini yang ditipu oleh media Barat yang bersimpati kepada Zionis.

Amerika Syarikat dan Israel menyerang loji-loji nuklear Iran yang membahayakan rakyat awam dan negara sekitarnya. Berbeza dengan para mujahidin yang tidak menyerang loji nuklear Israel kerana menjaga keselamatan rakyat awam Israel, rakyat Palestin, dan negara sekitar mereka daripada kesan bahayanya.

Sepatutnya, loji nuklear Israel yang perlu disiasat kerana nyata dibina untuk persenjataan dengan bantuan negara kuasa besar Barat, malah Israel tidak menyertai apa-apa perjanjian yang melarang senjata pemusnah. Sebaliknya, Iran pula diserang dengan ganas.

Apa yang berlaku berjaya memadamkan fitnah Islamofobia yang disebarkan bagi merosakkan wajah Islam yang sebenar.

Banyak kenyataan para pemimpin bukan Islam yang mendedahkan bahaya pengaruh Islam adalah disebabkan sifat adil kepada semua dan tidak melampau dalam peperangan, sehingga dianggap menggoda rakyat bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan kerajaan Islam.

Umat Islam diperintahkan untuk mengikuti teladan Rasulullah SAW supaya bersabar terhadap musuh yang melampau berpandukan firman Allah SWT:

وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّـٰبِرِينَ ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ ١٢٧

“Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126) Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah, dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa-apa yang mereka tipu dayakan. (127)” [Surah al-Nahl: 126–127]

Umat Islam diperintahkan untuk mengajak manusia kepada Islam dengan berlaku baik serta tidak membalas dendam terhadap musuh yang zalim dan melampau, berpandukan firman Allah SWT:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ ٣٣ وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ ٣٤ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ ٣٥ وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٣٦

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata, ‘Sesungguhnya, aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?’ (33) Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik. Maka, tiba-tiba orang yang antaramu dengan dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. (34) Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar. (35) Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (36)” [Surah Fussilat: 33–36]

Maka, negara Islam dan kumpulan Islam tetap berpegang kepada perintah Allah serta tidak memerlukan undang-undang antarabangsa dan mahkamah dunia yang rapuh dan tidak berlaku adil.

Cahaya Islam bukan sahaja tidak boleh dipadamkan oleh semua kuasa besar dunia, sebaliknya semua kuasa besar yang bermusuh terhadap Islam pasti menerima padah atas kezaliman mereka sepertimana kuasa-kuasa besar terdahulu yang dipahat dalam lipatan sejarah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 8 Muharram 1446 / 4 Julai 2025

[Bil: 42 / 2025]