Home Rencana PAS Wilayah

EMPAT SOALAN AWAL BERHUBUNG PROJEK PEMBANGUNAN KOTA MADANI

16
SHARE

 

PAS Putrajaya bersetuju terhadap apa sahaja projek pembangunan yang mengutamakan kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Walau apa sahaja nama yang diberi sama ada Kota Madani atau apa jua label politik lain, ia mesti mematuhi dasar perancangan semasa dan lunas perundangan seperti Pelan Struktur Putrajaya dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

 

Aspirasi pembangunan Putrajaya adalah menjadi sebuah bandar terancang, pintar, hijau dan mempunyai sistem pengangkutan berintegrasi serta menggamit tumpuan pelancong. Semua kawasan pinggiran (periphery area) termasuk Presint 19 adalah untuk menyokong kawasan utama Core Island.

 

PAS Putrajaya ingin mengemukakan EMPAT (4) soalan awal kepada pihak Perbadanan Putrajaya;

 

1. Menurut Inisiatif 7.4 Pelan Struktur Putrajaya, setiap presint mempunyai keunikan identiti sendiri. Namun, kebanyakan identiti presint sudah tidak boleh dikenal pasti lagi dan dilihat sama antara satu sama lain. Apakah identiti asal Presint 19 ekoran kebanyakan keluasan guna tanah adalah untuk ruang terbuka, pusat rekreasi, infrastruktur dan utiliti termasuk menempatkan Loji Rawatan Air Semenyih?

 

2. Apakah kerja-kerja yang sedang dilakukan di Presint 19 sekarang memandangkan terdapat papan tanda C.I Readymix Sdn Bhd dan beberapa buah lori YTL Cement yang sering keluar masuk dari laluan Lebuh Wadi Ehsan? Adakah ia mengenai projek ‘Wet Mix Concrete Batching Plant’ di PT 14067, Presint 19?

 

3. Adakah projek pertama yang akan dibangunkan di Kota Madani merupakan kuarters penjawat awam atau projek yang telah diluluskan iaitu Residensi Harga Bebas Kenanga (984 unit – PT 14786) oleh Protasco Development Sdn Bhd, Residensi Harga Bebas (502 unit – PT 14785) oleh GN Homeland Sdn Bhd dan projek kediaman (968 unit – 19RM1) oleh Putrajaya Homes Sdn Bhd?

 

4. Menurut Inisiatif 8.2 Pelan Struktur Putrajaya, mengapa pihak Perbadanan Putrajaya tidak melibatkan penyertaan pandangan awam jika terdapat perubahan terhadap Pelan Struktur Putrajaya? Walhal, perkara tersebut amat disarankan dalam Agenda Tempatan 21 (Local Agenda 21). Tender projek juga disaran untuk ditangguhkan hingga pindaan Pelan Struktur Putrajaya dibentang dan diwarta semula.

 

Mohon pihak Perbadanan Putrajaya memberikan penjelasan.

 

Sekian, terima kasih.

 

MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN

Ketua Penerangan

PAS Kawasan Putrajaya