Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan amat kesal dan membantah keras keputusan kerajaan untuk melaksanakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan kewangan tertentu bermula 1 Julai ini.
Langkah ini adalah tidak wajar, zalim dan tidak berperikemanusiaan kerana ia berlaku pada saat rakyat sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit. Kenaikan harga barang, sewa rumah, makanan, dan pelbagai kos perkhidmatan lain sudah pun menyesakkan nafas rakyat. Kini, kerajaan pula menambah beban dengan cukai baru yang akhirnya pasti akan dipindahkan kepada pengguna.
PAS Wilayah Persekutuan menuntut kerajaan memberikan jawapan segera kepada beberapa persoalan penting:
1. Apakah rasional kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan ini sedangkan ekonomi rakyat masih tertekan?
2. Siapa sebenarnya yang akan menanggung beban ini ?
3. Adakah kerajaan sanggup melihat rakyat terus dihimpit hutang dan kos perkhidmatan kewangan yang lebih tinggi?
Kerajaan tidak boleh terus menjadikan rakyat sebagai “mesin kutip cukai” untuk menampung kelemahan pentadbiran kewangan negara. Rakyat sudah cukup tertekan dengan pelbagai bebanan kos, jangan ditambah luka yang sedia ada.
PAS Wilayah Persekutuan mendesak kerajaan mengambil tindakan berikut dengan segera:
Hentikan serta-merta pelaksanaan cukai perkhidmatan sehingga kajian mendalam dijalankan terhadap kesan sebenar kepada rakyat.
Buka sesi libat urus (engagement) bersama rakyat, NGO, pakar ekonomi dan pihak industri sebelum membuat sebarang keputusan yang membebankan.
Dedahkan secara telus analisis kos-manfaat (cost-benefit analysis) mengenai bagaimana cukai ini kononnya dapat membantu negara tanpa menindas rakyat.
Kerajaan wajib ingat bahawa kuasa memerintah adalah amanah rakyat, bukan lesen untuk memerah keringat rakyat. Jika kerajaan terus meminggirkan suara rakyat, PAS Wilayah Persekutuan tidak teragak-agak untuk terus bersuara lebih lantang demi mempertahankan kepentingan rakyat.
Cukai ini bukan sahaja membebankan rakyat, malah menunjukkan kegagalan kerajaan mengurus ekonomi dengan bijak. Jangan jadikan rakyat mangsa kelemahan pentadbiran dan selesaikan segera atau kami ke jalanraya!!
Ustaz Haji Azhar Yahya
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan