Home Berita PAS Sabah

Guru Harus Terus Perkukuh Peranan Ilmu.

32
SHARE

Oleh : Yusrizal Baco
2 Julai 2025

LAHAD DATU : Kursus Guru Sekolah Rendah Islam Tahfiz Integrasi (SRITI) Negeri Sabah Siri 2 Kohort 4 telah melabuhkan tirainya di Awana Ballroom Lahad Datu, Ahad lalu.

Majlis penutupan kursus itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan SRITI Negeri Sabah, Kasman Karate.

Katanya, para guru SRITI akan memikul amanah yang sangat besar dan mulia dalam mendidik generasi yang rabbani.

Menurutnya, menjadi guru SRITI bukan sekadar melaksanakan tugas mengajar, tetapi juga bertanggungjawab membentuk akidah, menyemai nilai adab dan akhlak Islam yang sejati.

“Menjadi guru SRITI cabarannya sangat besar.

“Kita bukan hanya mendidik membaca dan menulis, tetapi perlu juga mendidik dengan hati dan jiwa teguh dan kental,”jelas beliau dalam ucapannya.

Beliau turut menekankan bahawa pengajaran bukan sahaja proses menyampaikan ilmu kepada murid, tetapi juga wadah untuk muhasabah diri dan memperbaiki akhlak pendidik itu sendiri.

Tambahnya, seorang guru yang membimbing pelajar sebenarnya sedang membimbing dirinya untuk menjadi lebih ikhlas, sabar, dan reda dengan ketentuan Allah.

Beliau juga turut mengingatkan bahawa ilmu yang disampaikan oleh seorang guru adalah cahaya yang akan terus memancar meskipun guru itu telah tiada.

“Jangan sekali-kali meremehkan sekecil-kecil ilmu yang kita sampaikan, kerana daripadanya mungkin lahir hidayah dan kebaikan yang berpanjangan,” tambah beliau.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada para peserta kursus atas komitmen mereka sepanjang program berlangsung.

Katanya, kursus ini menjadi medan untuk meningkatkan ilmu, memperkukuh ukhuwah dan membina semangat bersama dalam memperkasakan pendidikan Islam melalui SRITI di seluruh Negeri Sabah.