Home Berita PAS Terengganu

PAS Kemaman terima pendaftaran ahli baharu paling ramai

61
SHARE

KUALA TERRENGGANU – Sehingga Julai 2025, PAS Kemaman menjadi kawasan tertinggi di Negeri Terengganu dengan menerima pendaftaran ahli iaitu seramai 22,069 orang.

Menurut Yang Dipetuanya, Ustaz Che Alias Hamid, dengan komitmen semua pihak, sehingga kini Kawasan itu telah berjaya menubuhkan sebanyak 128 cawangan.

“Jika dilihat pada angka, ianya besar, tetapi di belakang sana ada kerja keras dan pengorbanan yang lebih besar yang datangnya dari semua ahli PAS,” kata beliau.

Dalam hantaran melalui media sosialnya, beliau berkata, lebih 700 orang perwakilan hadir melaksanakan tanggungjawab dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Kemaman pada 28 Jun lalu.

“Memasuki 65 tahun pelaksanaan MAT, PAS Kemaman telah melalui pelbagai jatuh bangun, suka duka serta pahit manisnya perjuangan sejak generasi pertama sehingga ke hari ini

“Melihat kepada perkembangan yang ada pada hari ini, PAS Kemaman telah memutuskan dan melancarkan pembinaan Kompleks PAS Kemaman yang akan menjadi pusat utama kepada seluruh jentera bergerak kerja.” jelas beliau.

Justeru itu, kata beliau, sempena MAT tersebut, PAS Kemaman telah menyerahkan bayaran premium tanah kepada wakil Yayasan Pendidikan Taman Islam.

“Insya-Allah diharapkan pembinaan kompleks ini mendapat bantuan serta kemudahan dari Allah SWT.” kata beliau lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan MAT PAS Kemaman ke-65 khususnya kepada wakil PAS Pusat dan negeri.

“Tidak dilupakan, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Haji Kamaruzaman Mohamad, AJK PAS Pusat yang sudi hadir merasmikan MAT kami.

“Juga turut memenuhi undangan, YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Penerangan BPPNT, DHPP Kemaman, BERSATU Bahagian Kemaman dan semua perwakilan serta pemerhati MAT PAS Kemaman Kali ke-65.” ujar beliau