Foto: BERNAMA
KUALA TERENGGANU – Pengumuman hasil siasatan tragedi letupan paip gas di Putra Heights mengejutkan banyak pihak, khususnya penduduk setempat yang menjadi mangsa dalam insiden 1 April lalu.
Laporan siasatan yang diumumkan baru-baru ini menyatakan bahawa kebakaran berpunca daripada struktur tanah lembut dan lembap yang gagal menyokong paip gas bertekanan tinggi.
Faktor itu dikatakan menjadi punca utama kebocoran dan letupan, bukan disebabkan unsur khianat, sabotaj mahupun kecuaian manusia.
Namun, penjelasan itu gagal meredakan keresahan penduduk yang masih trauma dengan kejadian tersebut.
Sebaliknya, ramai yang mula mempersoalkan ketelusan laporan tersebut, termasuk tahap tanggungjawab pihak yang menguruskan sistem keselamatan paip terbabit.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, dalam kenyataannya hari ini, meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas Petronas sebagai pemilik sistem saluran paip tersebut.
“Saya bersetuju bahawa tiada unsur sabotaj seperti dinyatakan pihak polis, namun saya tidak setuju bahawa tiada kecuaian berlaku,” katanya sambil merujuk kepada kenyataan Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat, yang mengaitkan keadaan tanah tidak stabil sebagai punca utama kebakaran.
Tambah beliau, Petronas sepatutnya menyelenggara aset mereka secara berkala, termasuk menilai risiko struktur tanah yang mungkin berubah mengikut masa.
“Saya menegaskan bahawa Petronas mesti bertanggungjawab atas segala kerugian mangsa dan menyediakan pampasan setimpal berdasarkan kerugian sebenar,” ujarnya.
Beliau turut menggesa agar Petronas menjalankan penilaian menyeluruh ke atas keseluruhan rangkaian paip gasnya yang meliputi 2,623 kilometer di Semenanjung Malaysia, sebagai langkah pencegahan terhadap insiden serupa.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas melibatkan kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, Petronas dan agensi teknikal bagi meneliti hasil siasatan penuh dan merangka pelan tindakan jangka panjang.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, jawatankuasa tersebut akan turut mencadangkan peraturan baharu dan pelan pencegahan yang komprehensif untuk memastikan tragedi seperti ini tidak berulang.
“Perkara ini melibatkan aspek teknikal dan perundangan, dan kita akan halusi segala dapatan siasatan untuk tindakan susulan yang wajar,” katanya.
Namun begitu, bagi sebahagian penduduk, jawapan paling penting masih belum terjawab, siapa yang patut benar-benar dipertanggungjawabkan, dan adakah keselamatan mereka benar-benar dijamin selepas ini.