HULU TERENGGANU – Seorang warga emas bersama tujuh ahli keluarganya berdepan dugaan besar apabila kediaman mereka di Kampung Chapu di sini musnah dalam satu kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11 pagi tadi.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Kamariah Taib, 68, bersama seorang cucunya berada di luar rumah ketika api mula marak dari bahagian tengah rumah yang diperbuat daripada kayu. Mereka hanya menyedari kejadian apabila melihat asap tebal dan api menjulang dari dalam rumah.
“Saya sangat terkejut. Hanya sempat lihat api sedang marak dari tengah rumah. Tiada apa sempat diselamatkan… semuanya habis terbakar,” katanya ketika diziarahi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail, tengah hari tadi.
Menurut Kamariah, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang barangan peribadi atau berharga dan hanya mampu melihat rumahnya musnah dalam sekelip mata.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Abdul Rahman Kamaruzzaman berkata, enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya kami di lokasi, rumah sudah terbakar hampir sepenuhnya. Operasi pemadaman segera dijalankan dan api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 12.53 tengah hari.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Tindakan pantas anggota berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke kediaman berhampiran,” katanya.
Zawawi yang turut hadir bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Terengganu dan Penghulu Mukim, memaklumkan bahawa bantuan segera akan disalurkan kepada keluarga terbabit.
“Pihak kami akan berbincang dengan agensi berkaitan bagi memastikan keluarga ini mendapat tempat berteduh sementara dan keperluan asas yang sewajarnya,” katanya.
Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.