1. Kerajaan Negeri Terengganu mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada tarikh asal 1 Julai 2025.
2. Cadangan ini selari dengan gesaan pelbagai pihak termasuk Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), yang berpandangan bahawa pelaksanaan dalam suasana ekonomi yang masih tidak menentu boleh memberi tekanan kepada sektor perniagaan dan menjejaskan kesejahteraan rakyat.
3. Penangguhan ini bertujuan memberi ruang yang lebih luas kepada para peniaga dan pengguna untuk membuat penyesuaian terhadap kesan langsung pelaksanaan cukai tersebut terhadap harga barangan dan kos sara hidup.
4. Dalam konteks semasa, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi. Walaupun kadar inflasi keseluruhan berada pada tahap 2 hingga 3 peratus, harga makanan dan minuman meningkat pada kadar yang lebih tinggi sekitar 4 hingga 5 peratus, memberi tekanan khususnya kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
5. Dalam masa yang sama, pertumbuhan gaji masih belum seiring dengan peningkatan kos sara hidup, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
6. Pengurangan subsidi bahan api serta kenaikan harga diesel dan RON95 secara berperingkat telah menyumbang kepada peningkatan kos logistik dan harga barangan asas.
7. Nilai ringgit yang terus menyusut berbanding mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat turut meningkatkan kos import, seterusnya mendorong kenaikan harga dalam pasaran domestik.
8. Berdasarkan dapatan kajian Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kuasa beli rakyat khususnya dalam kalangan golongan B40 dan M40 didapati semakin menyusut. Simpanan rakyat juga kebanyakannya digunakan untuk menampung keperluan asas, bukan lagi untuk pembelian pilihan atau pelaburan.
9. Dalam masa yang sama, kadar hutang isi rumah kekal tinggi sekitar 86 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus mengehadkan ruang perbelanjaan mereka dalam sektor ekonomi lain. Walaupun kumpulan T20 masih menunjukkan daya beli yang stabil, ketidakseimbangan ini tetap memberi kesan kepada pertumbuhan menyeluruh ekonomi negara.
10. Sehubungan itu, bagi memastikan pelaksanaan SST yang lebih inklusif dan bertanggungjawab, Kerajaan Negeri Terengganu turut mencadangkan agar kadar cukai SST yang diperluaskan ditetapkan pada kadar lebih rendah iaitu 4 peratus bagi tempoh dua tahun pertama (2026–2027). Langkah ini diharap dapat mengurangkan tekanan ke atas pengguna dan memberi ruang kepada perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, untuk menyesuaikan diri secara berperingkat dengan persekitaran cukai baharu.
11. Kerajaan Negeri percaya bahawa pendekatan yang lebih berhati-hati dalam pelaksanaan dasar fiskal seperti SST adalah penting demi menjamin keseimbangan antara matlamat pengukuhan hasil negara dan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat.
YB DATO’ ARIFFIN DERAMAN
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Terengganu
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu
29 JUN 2025 | 3 MUHARAM