Home Berita PAS Terengganu

Hijrah Kehidupan Menuju Kejayaan Dunia Akhirat

10
SHARE

DUNGUN – Hijrah bukan hanya memperingati peristiwa Hijrah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam tetapi sebagai mengingatkan umat Islam agar melakukan hijrah kehidupan untuk berjaya dunia dan akhirat.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menjelaskan hijrah kehidupan menekankan perubahan positif dan penting dalam setiap aspek kehidupan seorang Muslim.

“Ia meliputi meninggalkan daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik, daripada kelalaian kepada ketaatan, serta daripada kelemahan kepada kekuatan.

“Hijrah tidak hanya bermaksud berpindah dari satu tempat ke tempat lain, tetapi ia adalah perpindahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah subuh di Surau Nurul Huda di Gong Pasir di sini pada 28 Jun.

Tazkirah yang diadakan sempena program YB Bersama Rakyat di Unit Daerah Mengundi(UDM) Gong Pasir setelah selesai menunaikan sembahyang subuh berjemaah bersama penduduk setempat.

Menurut Ustaz Mohd Fadhli asas kepada hijrah yang sebenar terletak kepada hijrah hati.

“Apabila hati bersih dan bertaqwa, ia akan memancarkan keindahan pada akhlak dan perilaku kita sehari-hari.

“Dengan melakukan hijrah hati dan akhlak secara konsisten, seorang Muslim bukan sahaja akan meraih ketenangan dan keberkatan dalam kehidupan dunia, malah ia menjadi bekalan penting untuk kejayaan abadi di akhirat kelak,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memuji sambutan baik daripada penduduk di UDM itu bermula bermula solat subuh berjemaah, minum pagi bersama YB, 10, 000 langkah, rawatan Darul Syifa, tukar minyak hitam, sukaneka muslimin , muslimat, Pemuda dan Ameerah.

Turut mengambil bahagian agensi-agensi kerajaan iaitu Pejabat Kesihatan dan Majlis Perbandaran Dungun.