KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan dirayu menangguhkan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 1 Julai 2025 kepada tarikh lain untuk memberi lebih banyak persediaan kepada semua pihak berikutan beberapa aspek yang masih memerlukan penjelasan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan agar peluasan SST dilaksanakan dengan kadar lebih rendah, sebanyak empat peratus dalam tempoh dua tahun pertama (2026–2027) bagi meringankan beban cukai terhadap perniagaan dan pengguna.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memberi lebih banyak masa kepada para peniaga dan pengguna untuk membuat persediaan menghadapi situasi ekonomi yang dijangka tidak menentu akibat pelaksanaan cukai tersebut.
“Kadar yang kekal rendah dalam pelaksanaan SST akan mengundang pertumbuhan ekonomi negara apabila para peniaga masih berkeupayaan mengembangkan perniagaan dengan keuntungan yang munasabah, dan harga barang tidak membebankan pengguna kerana kuasa beli mereka masih tidak terjejas.
“Tahap kuasa beli pengguna di Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai faktor ekonomi dan sosial, termasuk inflasi, kadar pengangguran, pertumbuhan gaji serta kestabilan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kadar hutang isi rumah Malaysia masih tinggi iaitu kira-kira 86 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus mengehadkan keupayaan berbelanja dalam kalangan rakyat.
Ujarnya lagi, kajian Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa golongan B40 dan M40 mengalami penurunan kuasa beli, manakala T20 masih mempunyai daya belian yang stabil.
“Simpanan kebanyakannya digunakan untuk keperluan asas, bukan untuk pembelian berasaskan kehendak (wewenang). ‘Purchasing Power Parity’ (PPP) Malaysia dianggarkan sekitar RM135,313.42 pada tahun 2024, mencerminkan kuasa beli yang sederhana,” katanya.
Menurut Ariffin, kuasa beli pengguna di Malaysia kini sedang tertekan akibat inflasi, gaji yang tidak mencukupi serta kos sara hidup yang tinggi.
“Namun, dengan bantuan kerajaan dan pertumbuhan ekonomi yang stabil, terdapat harapan untuk pemulihan secara beransur-ansur,” jelas beliau lagi.
Justeru itu, katanya, kerajaan persekutuan perlu membuat pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan beberapa pihak termasuk Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berhubung penangguhan pelaksanaan SST tersebut demi kebaikan rakyat.