Home Berita PAS Terengganu

Kegagalan Menghapuskan Islam

16
SHARE

Al-Quran mendedahkan betapa musuh Islam akan terus-menerus menentang Islam dan berjuang supaya penganutnya murtad meninggalkan Islam. Firman Allah SWT:

… وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُوْلَـٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢١٧

“…Mereka terus-menerus (tidak henti-hentinya) memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu daripada agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka mampu. Sesiapa yang murtad antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalan mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya.” [Surah al-Baqarah: 217]

Firman Allah SWT:

وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ١٠٩

“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka, maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Surah al-Baqarah: 109]

Begitulah permusuhan terhadap Islam. Namun, usaha mengislamkan manusia wajib diteruskan dengan sabar dan tanpa menyerah kalah dalam menghadapi segala tentangan mereka sama ada dalam keadaan damai atau perang, dengan terus berpegang kepada mengutamakan perdamaian.

Allah tetap memelihara Islam dan penganutnya dalam menghadapi segala cabaran daripada musuh yang datang dari segenap penjuru. Firman Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membenci. (8) Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama (ajaran dan ideologi), meskipun orang-orang Musyrik membenci. (9)” [Surah al-Saff: 8–9]

Penentangan dilakukan sejak zaman Rasulullah SAW oleh golongan Musyrikin Makkah, penubuhan bala tentera Ahzab (gabungan Yahudi dan Musyrikin), sehingga melibatkan kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Kemudian, diteruskan lagi selepas kewafatan Baginda SAW dengan Perang Salib, sehingga meruntuhkan Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah (kuasa besar Islam)

Keadaan tersebut menyebabkan umat Islam dan tanah airnya dipecah-pecahkan serta rakyatnya diperhambakan, manakala hasil negaranya dirompak dan dicuri. Sementara itu, kefahaman umat Islam dirosakkan dan ilmunya dilemahkan, sehingga umat Islam mengalami kejahilan agama dan dunia, kemunduran, serta kemiskinan. Namun, cahaya Islam gagal dipadamkan sehingga tetap menembusi negara besar yang paling bermusuh.

Perjanjian Sykes–Picot 1916 dan lain-lain dilaksanakan bagi membahagi-bahagikan tanah air Islam supaya dapat dikawal oleh negara-negara penjajah untuk melaksanakan segala perancangan menghapuskan Islam.

Setiap orang pemimpin yang menyokong mereka menjatuhkan ‘Uthmaniyyah pula dilantik menjadi ketua negara atau raja. Namun, sekadar menjadi boneka yang diberikan kekayaan dan kemewahan tanpa kekuasaan dan persenjataan yang tidak mengatasi Israel, sebaliknya hanya bagi mencetuskan perang saudara kerana perbezaan mazhab, kaum, dan krisis sempadan, di samping menghalang gerakan Islam daripada kembali berkuasa semula.

Rasulullah SAW telah memberitahu berkenaan penyakit yang menimpa umat Islam pada akhir zaman dalam hadisnya:

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا، فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزِعَنَّ اللهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، ‌وَمَا ‌الْوَهْنَ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.

Daripada Thauban RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Tiba masanya beberapa umat (daripada musuh Islam) mengelilingi kalian laksana mereka yang pelahap mengelilingi hidangan makanan yang lazat.” Para sahabat bertanya, “Adakah jumlah kita (umat Islam) pada masa itu terlalu sedikit?” Baginda menjawab, “Bahkan, terlalu ramai, tetapi kalian laksana sampah sarap dan buih yang dihanyutkan banjir. Allah akan mencabut rasa kehebatan kalian dari hati musuh-musuh kalian dan mencampakkan dalam hati kalian penyakit al-wahan (kehinaan).” Para sahabat meminta penjelasan, “Wahai Rasulullah, apakah maksud penyakit wahan itu?” Baginda menjawab, “Terlalu cinta akan dunia dan takut akan kematian.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, no. 4297, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22397, daripada Thauban]

Dapat disaksikan betapa kemewahan yang melampau telah mengubah kehidupan mereka, sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW kepada Malaikat Jibril AS berkenaan tanda akhir zaman:

…وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ…

“…Kamu akan melihat mereka yang terdiri daripada penggembala kambing dan unta yang miskin tidak berpakaian lengkap, tiba-tiba menjadi kaya-raya berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi (menunjukkan kemewahan yang tiada keperluan)…” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 8, daripada ‘Umar bin al-Khattab]

Kali terakhir, mereka menyumbang kepada Amerika Syarikat dan sekutunya yang menghadapi krisis ekonomi dengan jumlah bertrilion-trilion, namun tidak mempedulikan umat Islam yang miskin dan kebuluran, laksana kata pepatah Melayu, “Kera di hutan disusukan, anak di pangkuan dilepaskan.”

Kini, kita menyaksikan kemunculan kumpulan Islam seperti Hamas, Tanzim Jihad, Hizbullah, Ansarullah, dan lain-lain.

Allah SWT juga menyebut dalam al-Quran beberapa ayat yang diulang dalam beberapa surah, antaranya dalam Surah al-Jumu‘ah:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢ وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٣ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ ٤

“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajari mereka al-Kitab dan al-Hikmah (al-Sunnah). Dan sesungguhnya, mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (2) Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (3) Demikianlah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (4)” [Surah al-Jumu‘ah: 2–4]

Imam al-Bukhari RH meriwayatkan, daripada Abu Hurairah RA, beliau menceritakan:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأُنْزِلَتْ عَلَيْهِ سُورَةُ الْجُمُعَةِ: {وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا بِهِمْ} قَالَ: قُلْتُ: مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَلَمْ يُرَاجِعْهُ حَتَّى سَأَلَ ثَلَاثًا، وَفِينَا سَلْمَانُ الْفَارِسِيُّ، وَضَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ عَلَى سَلْمَانَ، ثُمَّ قَالَ: ‌لَوْ ‌كَانَ ‌الْإِيمَانُ ‌عِنْدَ ‌الثُّرَيَّا، لَنَالَهُ رِجَالٌ، أَوْ رَجُلٌ، مِنْ هَؤُلَاءِ.

Sedang kami (para sahabat) duduk bersama Nabi SAW, lalu turun kepada Baginda Surah al-Jumu‘ah (ayat 3), “Dan (Dia juga telah mengutus Nabi Muhammad) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka.” Aku bertanya, “Siapakah mereka, wahai Rasulullah SAW?” Baginda tidak menjawab sehingga ditanya sebanyak tiga kali. Di sisi kami adanya Salman al-Farisi RA, lalu Rasulullah SAW meletakkan tangannya di atas badan Salman sambil bersabda, “Sekiranya iman itu bergantung di bintang Thurayya, nescaya ia dicapai oleh beberapa orang — atau seorang — lelaki daripada kalangan mereka (kaum Parsi).” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Qur’an, no. 4897, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, no. 2546, daripada Abu Hurairah]

Disaksikan betapa di wilayah Parsi (Iran pada hari ini), lahir tokoh-tokoh ulama’ besar dalam ilmu agama seperti tafsir, hadis, aqidah, dan fiqh daripada pelbagai bidang berserta ilmuwan dalam lapangan bahasa Arab, sains, dan teknologi.

Terkini, kemunculan Republik Islam Iran yang menyertai jihad Palestin bagi menentang Israel secara terbuka dengan beraninya menghadapi kuasa besar yang bergabung dengan Zionis, ketika negara-negara Arab dan Islam yang lain mengecewakan rakyat Palestin yang dibunuh dengan cara yang paling kejam.

Akan tetapi, masih ada yang beralasan Iran bermazhab Syiah, lalu dikafirkan semuanya, ataupun Iran berjuang untuk kembali menegakkan negara Safawi atau menegakkan negara yang beragama Majusi atau Zaradasht (Zarathustra). Di sini menunjukkan betapa mereka buta akan sejarah Iran.

Padahal pemerintah Parsi di Yaman pada zaman Rasulullah SAW, Bazan bin Sasan RA telah memeluk Islam di hadapan Rasulullah SAW. Rakyat Iran pula memeluk Islam sepenuhnya pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA membuka wilayah Parsi.

Sebelum ini, Kerajaan Safawi merampas kuasa di Iran dan memaksa rakyatnya menganut mazhab Syiah (segelintir sahaja Syiah yang sesat sepertimana segelintir Sunni juga sesat). Namun, Revolusi Islam di Iran pada tahun 1979 telah menjatuhkan Kerajaan Pahlawi (Pahlavi) Shah Iran yang menjadi boneka Amerika Syarikat, Israel, dan sekutu mereka.

Revolusi Islam telah membatalkan hubungan dengan Israel dan mengharamkan negara tersebut. Kemudian, Republik Islam Iran melakukan perubahan terhadap sistem pemerintahan Islam kepada Wilayah al-Faqih (kepimpinan para ulama’ yang bertafaqquh), menyamai konsep Wilayah Ulama’ Mujtahid dalam mazhab Sunni.

Kerajaan Iran turut mengarahkan para jemaah haji mereka untuk berimamkan Sunni dalam solat, berbeza dengan zaman Shah apabila mereka sembahyang secara berasingan. Mereka juga melaksanakan syariat yang sama rukunnya dalam semua mazhab, dengan mereka berkhilaf dalam masalah furu‘ sahaja. Demikian juga, Iran menegakkan perjuangan perpaduan umat Islam.

Malangnya, negara-negara Arab dan Islam pula menjadikan isu perbezaan mazhab sebagai modal selepas terpengaruh dengan kenyataan para pemimpin Barat yang melaga-lagakan umat Islam melalui perbezaan etnik, mazhab, dan ideologi yang dibawa oleh penjajah.

Terdedah rahsia perancangan yang ingin memecahbelahkan umat Islam melalui agenda yang diatur oleh kumpulan RAND Corporation yang dahulunya ditugaskan di bawah Agensi Perisikan Pusat (CIA) dengan kerjasama American Israel Public Affairs Committee (AIPAC), supaya menumpukan tentangan terhadap umat Islam melalui kalangan yang dinamakan ‘Building Moderate Muslim Networks’ yang membawa teori haddathah. Perihal mereka ini disebut oleh firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗا لَّسۡتَ مِنۡهُمۡ فِي شَيۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ١٥٩

“Sesungguhnya, orang-orang yang memecahbelahkan agama-Nya dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu kepada mereka. Sesungguhnya, urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahu mereka apa-apa yang telah mereka berbuat.” [Surah al-An‘am: 159]

Sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌أَحْدَثَ ‌فِي ‌أَمْرِنَا ‌هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.

“Sesiapa yang mengadakan perkara baharu dalam urusan kami (yang melawani rukun dan dasar agama), nescaya ditolak (bukan daripada ajaran Islam).” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sulh, no. 2697, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Aqdiyah, no. 1718, daripada ‘Aishah]

Para pemimpin dan ulama’ juga dipergunakan berdasarkan firman Allah SWT:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ ١٧٧

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berinya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya yang rendah. Maka, perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika kamu membiarkannya, ia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” [Surah al-A‘raf: 175–177]

Cahaya Islam yang terang daripada al-Quran dan al-Hikmah (Sunnah Nabawiyyah) mendedahkan wajah-wajah mereka yang nyata menentang Islam dan mereka yang berpura-pura beriman, tetapi hakikatnya turut menentang Islam.

Ternyata melalui peristiwa Ahzab pada zaman Rasulullah SAW dan Ahzab pada masa kini mendedahkan antara mereka yang benar-benar beriman dengan mereka yang kufur dan munafiq.

Namun, Allah SWT menjanjikan kemunculan kumpulan Islam yang bangkit berjuang dan tidak menyerah kalah dengan firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang Mukmin, namun bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, serta yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela! Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Ma’idah: 54]

Kumpulan Islam muncul di setiap tanah air Islam yang bangkit menentang penjajah dan kesesatannya.

Rasulullah SAW menyebut secara khusus kumpulan Islam di Palestin dan jirannya dengan bersabda:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.

“Terus-menerus dalam kalangan umatku adanya kumpulan yang bangkit menegakkan al-din (Islam yang sempurna), yang gagah perkasa menghadapi musuh, serta yang tidak mampu dihalang oleh sesiapa yang menentang mereka atau mengecewakan mereka, melainkan mereka menghadapi sedikit kesusahan, sehingga datangnya keputusan Allah (memenangkan mereka), mereka masih dalam keadaan demikian.”

قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟

Apabila para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?”

قَالَ: ‌بِبَيْتِ ‌الْمَقْدِسِ، ‌وَأَكْنَافِ ‌بَيْتِ ‌الْمَقْدِسِ.

Baginda menjawab, “Di Bait al-Maqdis dan di sekeliling Bait al-Maqdis.” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 1 Muharram 1447 / 27 Jun 2025

[Bil: 40 / 2025]