Home Berita PAS Terengganu

1,300 Peserta sertai Kejohanan Festival Memanah

40
SHARE

KUALA TERENGGANU, 29 Jun – 1,300 peserta kanak-kanak dan dewasa mengambil bahagian pada Kejohanan Festival Memanah OWL 916 Terbuka Asia 2025 bertempat di Padang Polo, Terengganu Equestrian Resort (TER), semalam.

Penganjuran kejohanan yang telah dijayakan kerajaan negeri melalui Urus Setia Belia Sukan Dan Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) itu merupakan satu usaha kerjasama erat bersama Gabungan Pemanah Tradisional Terengganu (GAPETER).

Dengan tema ‘Rapatkan Ukhuwah Sukan Sunnah Diamati’, antara objektif utama penganjuran festival tersebut adalah bagi membangunkan sukan sunnah, yang turut melibatkan pendidikan mengenai teknik dan sejarah memanah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri menyokong perkembangan sukan memanah tradisional yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia di Terengganu.

“Memanah mula muncul antara aktiviti yang mendapat tempat dan saya amat menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh Persatuan Memanah Tradisional Negeri Terengganu.

“Untungnya semua yang terlibat didalam sukan memanah ini, mereka menepati apa yang telah disebut oleh Nabi S.A.W., diantara sukan yang telah disenarai oleh Nabi untuk kita semua belajar dan menguasai,” katanya.

Menurut beliau, ketiga-tiga sukan yang disebut oleh Nabi S.A.W. (memanah, berkuda dan berenang) kini semakin mendapat perhatian di negeri ini, dengan aktiviti berkuda menjadi yang paling aktif.

Bagaimanapun, jelasnya, sukan renang masih menjadi cabaran dari segi pelaksanaan yang menepati syariah, namun pihaknya optimis ia akan dapat dikembangkan secara lebih tersusun suatu hari nanti.

“Tinggal lagi satu sukan yang agak sukar untuk kita seliakan, iaitu aktiviti renang. Mudah-mudahan suatu masa nanti insya-Allah aktiviti renang juga bakal menjejaki aktiviti memanah dan aktiviti berkuda pada suatu ketika nanti, insya-Allah,” tambahnya.

Jumlah keseluruhan 1300 penyertaan itu termasuk peserta daripada Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand serta Malaysia, menjadi indikatif kepada penyertaan yang amat menggalakkan.

“Saya mengucapkan selamat datang kepada semua, sama ada peserta luar negara mahupun peserta dalam negara.

“Mudah-mudahan pertandingan yang kita anjurkan kali ini akan terus memberikan ruang kepada kita untuk mengasah bakat dan kita mempertajamkan lagi kemahiran memanah yang dituntut oleh Nabi S.A.W.

Hishamuddin berkata demikian semasa merasmikan kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 28 Jun sehingga 29 Jun 2025, di sini.

Kejohanan yang dianjurkan pada hari ini merupakan anjuran siri kedua dimana anjuran sebelumnya yang juga berjaya meraih 1000 lebih penyertaan telah dijalankan pada 31 Mei dan 1 Jun 2024, bertempat di lokasi yang sama.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris pernah menyatakan hasratnya untuk menjadikan acara memanah tradisional sebagai produk pelancongan negeri.

“Acara memanah tradisional memang kita hendak masukkan dalam kalendar pelancongan negeri, saya sedang buat penelitian mendapatkan jumlah berapa pembuat busur, pemanah tradisional dan pemain yang sudah berada di taraf antarabangsa.

“Dari Iran pun ada, di sebelah Timur Tengah juga ada peminatnya sama ada memanah sahaja atau memanah berkuda. Saya fikir memanah ini memang kita akan kumpul persatuan mereka untuk dijadikan satu produk baru pelancongan Terengganu”, nyatanya.