Home Berita PAS Terengganu

PB Hotel terima Anugerah Chalet Resort Halal terbaik

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Paya Bunga Hotel Terengganu melakar sejarah dalam bidang perhotelan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Chalet / Resort Halal Terbaik sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1447H / 2025M.

Pengurus Besar PB Hotel, Abdul Hadi Alias, berkata anugerah itu menjadi bukti pengiktirafan kerajaan negeri terhadap usaha berterusan pihak hotel dalam memperkukuh elemen mesra Muslim dalam sektor pelancongan dan hospitaliti negeri.

“Pengiktirafan berprestij ini merupakan satu penghormatan yang cukup besar kepada seluruh warga kerja Paya Bunga Hotel.

“Mereka sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan hospitaliti yang mematuhi piawaian halal dan patuh syariah, sejajar dengan visi untuk menjadi hotel Mesra Muslim unggul di rantau ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail telah berkenan menyampaikan
anugerah berprestij itu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Paya Bunga Hotel, Yang Berhormat Haji Ahmad Shah Muhamed.

Abdul Hadi berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak JHEAT dan kerajaan negeri atas kepercayaan ini.

“Semoga anugerah ini menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja PB Hotel untuk terus memberi perkhidmatan yang cemerlang dan berintegriti tinggi,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Pencipta Kandungan Paya Bunga Hotel, Muhammad Akid Hafriz Muhamad, juga  telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Video Pendek Terbaik, sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 dan sijil penghargaan.