Home Berita PAS Terengganu

Ceramah Ustaz Abdul Somad gamit kehadiran lautan manusia

22
SHARE

BESUT — Sambutan ambang Maal Hijrah 1447H di Dataran Tapak Pasir Tani Kuala Besut malam tadi mencatat sejarah tersendiri apabila lautan manusia membanjiri kawasan tersebut untuk menghadiri ceramah istimewa oleh Tokoh Dakwah Nusantara, Prof. Dr. Ustaz Abdul Somad Batubara sekali gus mencipta Fenomena yang tersendiri.

Kehadiran beliau bukan sahaja menyerlahkan aura keilmuan dan semangat perjuangan Islam, malah menghidupkan kembali roh penghijrahan Rasulullah SAW dalam konteks masa kini.

Ribuan hadirin dari segenap pelusuk negeri, terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang telah berkumpul bagi menyelami hikmah dakwah dan pesanan rohani yang disampaikan dengan gaya penyampaian yang menyentuh hati.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa awal tahun yang dipimpin oleh pendakwah terkemuka, Ustaz Mokhtar Yacoob, sebagai simbolik memohon keberkatan Ilahi dan petunjuk dalam melangkah ke tahun Hijrah yang baharu.

Dalam ucapan yang penuh keinsafan dan harapan, Ustaz Abdul Somad menyatakan rasa takjubnya terhadap ketentuan Ilahi yang mempertemukan beliau dengan masyarakat Terengganu pada detik penting ini

“Semasa kami menyusun jadual ini, tidak terlintas di fikiran saya, kita akan menyambut malam tahun baharu Hijrah di Terengganu.

“Rupa-rupanya sudah tertulis di Luh Mahfuz, tahun baharu ini berjumpa dengan orang-orang baik, di negeri yang baik, mempunyai kerajaan yang baik. Maka saya optimis, saya semangat, tahun ke hadapan ini kita semua lebih baik,” ujarnya.

Program rohani ini turut mendapat sokongan penuh daripada pimpinan negeri dan daerah yang hadir bagi meraikan kebangkitan semangat ummah, antaranya,  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi merangkap Dato’ Dr Azman Ibrahim, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat.

Dalam pada itu, ADUN Kuala Besut Azbi Salleh, menyampaikan penghargaan dan kesyukuran atas kehadiran ribuan masyarakat yang menjadikan sambutan ini suatu kejayaan luar biasa.

“Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya kita dapat berkumpul sempena sambutan Maal Hijrah pada hari yang penuh barakah ini,” katanya.

Beliau juga turut menyeru semua agar menjadikan hijrah bukan hanya sekadar sejarah, tetapi sebagai agenda perubahan.

“Maal Hijrah bukan sekadar mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, tetapi membawa maksud yang jauh lebih mendalam  agar kita melakukan penghijrahan dalam diri daripada kegelapan kepada cahaya, keinsafan daripada kelalaian, menuju ke arah ketakwaan yang sejati.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Amal Malaysia dan barisan anggota polis yang telah memainkan peranan penting melancarkan pergerakan dan kawalan trafik bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan semua yang hadir.

“Majlis ini bukan sahaja membuktikan kebangkitan roh ukhuwah dalam kalangan rakyat Besut, bahkan menjadi simbol perpaduan dan keazaman masyarakat menuju kehidupan yang lebih diberkati, berlandaskan iman dan taqwa dalam melangkah ke tahun baharu Hijrah,” ujar beliau.