KUALA TERENGGANU – Buat pertama kali dalam sejarah, Terengganu bakal membuka pintu kepada ribuan pelancong bertaraf jutawan menerusi industri pelayaran mewah yang dijangka berlabuh di pesisirnya seawal tahun hadapan.
Dengan infrastruktur pelabuhan yang telah dinaik taraf dan kekayaan destinasi yang masih belum diteroka dunia, negeri ini bersedia melangkah ke pentas pelancongan antarabangsa, bukan sekadar sebagai tempat singgah, tetapi sebagai nadi baharu ekonomi laut dan mercu baharu pelabuhan pelancongan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, usaha membawa industri pelayaran ke Terengganu telah dimulakan sejak empat tahun lalu, iaitu sebelum pandemik Covid-19, namun tertangguh kerana isu teknikal seperti pendalaman dasar laut, masalah benteng ombak (breakwater), serta struktur drawbridge yang menghalang kapal besar.
“Cruise akan ke Terengganu awal tahun depan. Perancangan ini telah dirintis sejak dua tahun sebelum pandemik.
“Ia dibincang dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri dan mendapat sokongan, cuma tertangguh akibat cabaran fizikal dan teknikal yang kini sudah ditangani,” katanya pada sidang media selepas program Cruise Familiarization Tour di Permai Hotel, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Dato’ Azman Shah Mohd Yusuf, Ketua Pegawai Eksekutif Duyong Cruise Holidays Sdn Bhd, Kapten Mohd Tarmizi Mejam.
Tambah beliau, Terengganu kini memiliki tiga jeti yang telah dinaik taraf, Jeti EPIC di muara Kuala Terengganu dengan kos naik taraf lebih RM30 juta, Jeti Duyong Marina dan Jeti Taman Tamadun Islam (TTI), yang bersedia menyambut pelancong dari seluruh dunia.
“Walaupun Jeti EPIC lazimnya untuk industri minyak dan gas, mereka bersedia menyokong pelancongan. Duyong Marina kita letakkan sebagai jeti utama.
“Kita telah buat kajian kedalaman, arus, keselamatan, dan yakin tiga jeti ini mampu terima hingga tiga kapal besar serentak,” jelas beliau.
Ariffin berkata, Cruise Fam Tour adalah langkah penting memperkenalkan Kuala Terengganu kepada penggiat industri pelayaran antarabangsa, dengan sasaran awal kepada kapal bersaiz kecil dan sederhana yang mampu membawa ribuan orang pelancong dan kru.
“Saya percaya kehadiran pelancong akan beri impak langsung kepada usahawan kita, dari Pasar Payang, TTI, Muzium Negeri, Setiu Wetland, hingga ke pulau-pulau kita yang menawan.
“Ramai pelancong Cruise adalah jutawan yang biasa melancong ke seluruh dunia. Bila mereka jumpa destinasi baharu, mereka akan datang lagi,” katanya lagi.
Menurutnya, walaupun mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Datuk Razali Idris yang masih dalam perjalanan pulang dari Makkah, beliau turut memberikan komitmen penuh sebagai EXCO yang menjaga portfolio keusahawanan.
“Ini bukan pelancongan biasa, tapi pelaburan masa depan. Kita buka laluan untuk cruise ‘high-end’ selepas kapal sederhana mula berlabuh.
“Kita mahu Kuala Terengganu jadi perintis, kalau berjaya, negeri-negeri lain boleh ikut,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Dato’ Azman Shah Mohd Yusuf menjelaskan tumpuan kini ialah kepada kapal kategori explorer, premium dan luxury yang mengutamakan pengalaman baharu dan sanggup membayar lebih untuk destinasi eksklusif.
“Di Kuala Terengganu sahaja, kita boleh tawarkan tujuh jenis ekspedisi, dari warisan, alam semula jadi, kulinari, aktiviti lasak hingga ke budaya pesisir.
“Cruise bukan lagi untuk golongan pencen. Sekarang ramai pelancong muda dan keluarga besar yang melancong bersama, impaknya berlapis,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia kini sedang merangka rangkaian pelabuhan strategik agar negara dapat muncul sebagai Homeport, pusat permulaan pelayaran pelancong antarabangsa.
“Kita sedang bina rangkaian pelabuhan Malaysia supaya negara ini jadi Homeport, pelancong mendarat, menginap di hotel, naik cruise dan pulang ke negara asal melalui lapangan terbang.
“Destinasi yang hanya memberi lawatan 8 jam mesti susun aktiviti padat dan memikat supaya pelancong mahu kembali. Tapi kalau cruise mewah, mereka akan bermalam, itu lebih tinggi nilai ekonominya,” tambahnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman menyertai Persidangan Cruise Global di Miami, April lalu.
“Sebelum sempat saya tandatangan apa-apa, sudah ramai bertanya tentang Kuala Terengganu.
“Bila kita sebut tentang tarikan baharu, mereka terus tertarik. Memang ada pasaran, kalau kita berjaya di sini, pantai timur akan hidup,” ujarnya.