Oleh : Nur Marlyannah Umar
27 Jun 2025, Jumaat
LAHAD DATU : Penyertaan anak-anak dalam aktiviti sukan bukan semata-mata mengejar kejayaan nombor satu atau menjadi juara sahaja, tetapi lebih besar daripada itu adalah mendidik mereka menjadi mukmin yang mentaati perintah Allah SWT.
Ketua Pemuda PAS Kawasan Lahad Datu, Razik Tan berkata, penting untuk difahami bahawa mukmin yang sihat itu adalah perintah Allah SWT dan dituntut Rasulullah SAW.
Dalam riwayat muslim, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah SWT daripada mukmin yang lemah.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dan menyempurnakan perasmian Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring di SMK Terusan, pagi tadi.
Sementara itu, Pengerusi PASTI Lahad Datu, Landari Labobo berkata kejayaan melaksanakan program pada kali ini adalah kerjasama dan komitmen tinggi semua pihak khususnya para guru dan sokongan ibu bapa.
Kejohanan ini disertai semua 7 PASTI Kawasan Lahad Datu menampilkan dua acara dipertandingkan iaitu bola sepak dan bola jaring.
Untuk acara bola sepak telah dimenangi oleh PASTI Al-Hidayah, Bandar Sri Perdana manakala untuk acara bola jaring pula, telah dimenangi oleh PASTI An-Najah, Taman Warisan.
Turut hadir Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Lahad Datu, Hilmi Harie.