Home Berita PAS Pahang

Cadangan jadual giliran tangani krisis air di TDRS – Andansura Rabu

28
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

BESERAH, 26 Jun – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) diminta untuk membuat jadual giliran bekalan air antara Taman Dato Abdul Rashid Salleh (TDRS) dan Damansara bagi mengurangkan beban penduduk yang terjejas akibat tekanan air rendah.

Ahli Dewan Negeri Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu berkata, kejadian tersebut berpunca daripada penggunaan yang melebihi kemampuan bekalan, sejurus selepas beliau meninjau bersama wakil PAIP Daerah Kuantan di lokasi berkenaan di sini semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penolong Pengurus PAIP Daerah Kuantan, Ahmad Khari Mohd Abas yang turun padang menunjukkan komitmen menyelesaikan isu ini.

Menurutnya, kawasan perumahan TDRS menerima bekalan air dari Loji Semambu yang juga membekalkan ke kawasan perindustrian Gebeng, dan penggunaan tinggi di sana menyebabkan berlakunya gangguan bekalan ke kawasan perumahan tersebut.

“Mesin booster tidak mampu menyelesaikan masalah kerana bekalan sememangnya tidak cukup. Cadangan untuk menggunakan bekalan dari Damansara pula menyebabkan gangguan di sana pula,” jelas beliau.

Beliau berharap agar PAIP dapat memperhalusi cadangan jadual giliran dan memaklumkan penduduk jika ia dilaksanakan.

Dalam pada itu, Andansura memaklumkan bahawa paip dari Terengganu ke Gebeng telah siap, namun bekalan masih belum disalurkan kerana rundingan antara dua kerajaan negeri belum dimuktamadkan.

“Sebaik rundingan dimuktamadkan, Insya-Allah bekalan domestik akan lebih stabil,” ujarnya.