Home Minda Presiden

PERDAMAIAN YANG MEMPERBODOHKAN

121
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 39 / 2025]
PERDAMAIAN YANG MEMPERBODOHKAN

Kita menyaksikan cadangan perdamaian krisis Asia Barat yang ditaja oleh Amerika Syarikat dan sekutunya nyata berpihak kepada Zionis Israel, sedangkan mereka telah melakukan pencerobohan yang terbukti ganas dan melampau. Sehinggakan, melanggar undang-undang antarabangsa seperti yang telah disabitkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang dibakulsampahkan.

Malah, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) juga menyalahkan Israel, namun divetokan oleh Amerika Syarikat. Keadaan ini laksana sarang labah-labah yang menangkap serangga yang lemah, tetapi dibolosi oleh helang yang besar.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat dan sekutunya membekalkan Israel dengan segala kemudahan membina senjata nuklear dan senjata pemusnah yang lain secara bertali arus. Termasuklah senjata ganas yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa.

Negara-negara Islam pula dihalang daripada maju dalam segala lapangan, walaupun kekayaan hasil buminya melimpah-ruah. Kekayaan mereka lebih banyak dirompak dan dicuri oleh negara bekas penjajah bagi kemajuan mereka sendiri dalam segala lapangan. Adapun negara-negara Islam yang miskin pula dipaksa bergantung kepada bantuan yang terbatas.

Namun begitu, mereka gagal menyekat kemajuan Republik Islam Iran selepas revolusinya, khususnya dalam kemajuan sains dan teknologi. Termasuklah dalam bidang sains nuklear yang tidak digunakan untuk tujuan persenjataan. Hal ini disebabkan telah difatwakan oleh kepimpinan ulama’ Iran bahawa membina senjata pemusnah adalah diharamkan oleh hukum Islam.

Akibatnya, Iran telah diambil tindakan kepungan dengan sekatan ekonomi, politik dan lain-lain dengan alasan kemajuannya dibimbangi akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara Israel. Hal ini berlaku walaupun Iran sudah dikawal oleh pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya di setiap negara Arab yang mengelilinginya.

Negara-negara itu memberikan keizinan mereka kerana mengenang jasa kuasa Barat yang membolehkan mereka bertakhta, berharta dan mendapat kedudukan bernegara selepas membantu kuasa Barat menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah. Seterusnya, kuasa Barat diberikan peluang menubuhkan negara haram Israel dengan cara merompak, membunuh dan menghalau penduduk asalnya.

Allah SWT mengharamkan bangsa Yahudi yang khianat terhadap para anbiya’ untuk berada di bumi Palestin. Hal ini demikian kerana, mereka mengecewakan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang telah menyelamatkan mereka daripada kezaliman Firaun di Mesir. Firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦ يَٰقَوۡمِ لِمَ تُؤۡذُونَنِي وَقَد تَّعۡلَمُونَ أَنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُمۡۖ فَلَمَّا زَاغُوٓاْ أَزَاغَ ٱللَّهُ قُلُوبَهُمۡۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٥

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, ‘Wahai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?’ Maka, tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasiq.” [Surah al-Saff: 5]

Mereka memfitnah Nabi ‘Isa AS yang diutus oleh Allah untuk memimpin mereka bersama Islam. Firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ يَٰبَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ إِنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُم مُّصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَمُبَشِّرَۢا بِرَسُولٖ يَأۡتِي مِنۢ بَعۡدِي ٱسۡمُهُۥٓ أَحۡمَدُۖ فَلَمَّا جَآءَهُم بِٱلۡبَيِّنَٰتِ قَالُواْ هَٰذَا سِحۡرٞ مُّبِينٞ ٦

“Dan (ingatlah) ketika ‘Isa ibnu Maryam berkata, ‘Wahai Bani Isra’il, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad).’ Maka, tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata, ‘Ini adalah sihir yang nyata.’” [Surah al-Saff: 6]

Perkara ini telah dinyatakan dalam kitab suci mereka, bahkan telah diberitahu oleh para anbiya’ dan ulama’ mereka. Firman Allah SWT:

وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَٰقَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ لَمَآ ءَاتَيۡتُكُم مِّن كِتَٰبٖ وَحِكۡمَةٖ ثُمَّ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مُّصَدِّقٞ لِّمَا مَعَكُمۡ لَتُؤۡمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقۡرَرۡتُمۡ وَأَخَذۡتُمۡ عَلَىٰ ذَٰلِكُمۡ إِصۡرِيۖ قَالُوٓاْ أَقۡرَرۡنَاۚ قَالَ فَٱشۡهَدُواْ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ ٨١ فَمَن تَوَلَّىٰ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٨٢

“Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil perjanjian daripada para nabi, ‘Sungguh, apa sahaja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.’ Allah berfirman, ‘Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?’ Mereka menjawab, ‘Kami mengakui.’ Allah berfirman, ‘Jika begitu, saksikanlah (wahai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.’ (81) Sesiapa yang berpaling sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (82)” [Surah Ali ‘Imran: 81-82]

Kaum Zionis Yahudi bertindak menentang Islam bersama kumpulan bukan Islam dengan menubuhkan bala tentera bersekutu sejak zaman awal Islam di Madinah, dan langkah yang sama masih berterusan sehingga kini.

Israel ditubuhkan selepas berjaya menjatuhkan khilafah Islam pada awal abad yang lalu bagi menentang Islam dan umatnya dengan bantuan sepenuhnya oleh kuasa besar daripada blok Barat. Namun begitu, kedudukan Israel pada hari ini dianggap tidak selamat dengan kemunculan Republik Islam Iran, diikuti kemunculan kumpulan-kumpulan Islam seperti Hamas, Tanzim Jihad, Hizbullah, dan Ansarullah, di samping gerakan-gerakan Islam yang telah lama ditubuhkan. Ada yang diharamkan, ada yang ditindas, dan ada yang menunggu diharamkan.

Sebenarnya, Israel ditubuhkan bertujuan menjadi pangkalan hadapan bagi menghadapi kebangkitan semula Islam yang bernegara, berdaulat, dan paling berpengaruh di dunia dalam sejarahnya. Negara Islam bukan negara yang menjajah, tetapi pemerintahannya yang adil dan bersifat paling manusiawi seperti yang terbukti benar dalam sejarah telah menarik semua rakyat di bawah pemerintahannya sehingga kini. Bahkan, pengaruh Islam gagal dihilangkan dalam jiwa bangsa yang menganut Islam.

Negara-negara Islam yang diberikan kemerdekaan disyaratkan tidak boleh kembali semula kepada pemerintahan Islam yang sebenar. Namun begitu, kebangkitan semula menentang pengaruh penjajah gagal dihapuskan termasuk di Palestin yang terus dijajah.

Apabila berlaku Intifadah (kebangkitan rakyat Palestin) yang memuncak pada tahun 1980-an, maka dianjurkan satu persidangan damai yang mencadangkan Penyelesaian Dua Negara (Two-State Solution), yang ditolak oleh Israel tetapi dipaksa agar negara-negara Arab dan Islam menyokongnya. Hal ini diikuti dengan penubuhan Pihak Berkuasa Palestin (Palestinian Authority – PA) yang tidak berkuasa dan hanya menjadi boneka bagi meredakan kebangkitan rakyat Palestin. Bantuan kewangan dalam jumlah yang besar disalurkan oleh negara penyumbang, termasuk negara Arab dan Islam, kepada kumpulan Palestin yang ditaja dan ditadbir urus oleh Israel bagi merasuah rakyat Palestin.

Selain itu, mereka juga mengadakan Pilihan Raya Umum Palestin secara demokrasi yang menjadi kebanggaan mereka, tetapi disertakan politik wang dan penipuan. Tiba-tiba, rakyat Palestin memberi kemenangan kepada Hamas (kumpulan Islam) yang menyertai pilihan raya. Mereka berjaya mendapat majoriti menubuhkan kerajaan dan mencalonkan pemimpinnya, Ismail Haniyyeh menjadi Perdana Menteri, tetapi ditolak dan Hamas tidak dibenarkan menubuhkan kerajaan.

Apabila Hamas bertindak menubuhkan kerajaan sendiri di wilayah Gaza, kerajaan itu tidak diiktiraf termasuk oleh negara-negara Arab dan Islam, bahkan tidak dibenarkan menyertai Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC). Pada masa itu, kerajaan Republik Islam Iran yang mengiktiraf Hamas dan membantunya, termasuk membekalkan bantuan senjata bagi menentang kezaliman terhadap umat Islam.

Dalam keadaan Gaza dikepung dan disekat segala bantuan termasuk bantuan yang bersifat kemanusiaan, kerajaan Hamas mampu bertahan dengan bantuan Iran dan NGO Islam dari seluruh pelosok dunia.

Dunia kemudiannya dikejutkan dengan Operasi Taufan al-Aqsa oleh Hamas dan kumpulan-kumpulan lain apabila mereka menyerang tentera Israel. Tentera Israel sebelum ini berbangga dengan slogan tentera yang tidak mungkin dikalahkan kerana banyaknya senjata termoden yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat dan kuasa besar Eropah. Namun begitu, pertahanan Israel berjaya ditembusi dan serangan balas Israel mengalami kegagalan. Allah berfirman menceritakan kemampuan pertahanan Israel dengan firman-Nya:

لَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرٗى مُّحَصَّنَةٍ أَوۡ مِن وَرَآءِ جُدُرِۢۚ بَأۡسُهُم بَيۡنَهُمۡ شَدِيدٞۚ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ ١٤

“Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di sebalik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu menyangka mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana sesungguhnya mereka ialah kaum yang tidak mengerti.” [Surah al-Hashr: 14]

Israel membina kubu bawah tanah dan benteng keselamatan yang banyak, malah tenteranya banyak menggunakan kereta kebal dan kenderaan berperisai. Mereka adalah bangsa yang paling pengecut.

Wilayah Gaza kemudiannya dibelasah dengan serangan terhadap rakyat awam termasuk warga tua, kanak-kanak dan wanita yang diharamkan oleh Islam dan undang-undang antarabangsa.

Adapun Hamas dan semua kumpulan yang bersamanya hanya menyerang sasaran tentera sahaja, berpandukan firman Allah SWT:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Tawanan perang Yahudi yang dibebaskan turut mendedahkan secara terbuka betapa baiknya layanan terhadap mereka dan sangat berterima kasih.

Keadaan yang berlaku telah mencetuskan kesedaran dan simpati di negara bukan Islam, sekali gus melesetnya Islamofobia yang digunakan bagi memburukkan wajah Islam yang sangat cantik dan menarik.

Akhirnya, Republik Islam Iran pula menjadi sasaran serangan Israel secara menceroboh, dan ini disahkan oleh majoriti besar Majlis Keselamatan PBB (UNSC). Namun begitu, Amerika Syarikat tanpa maruah menggunakan kuasa veto bagi menyelamatkan Israel daripada dihukum.

Serangan balas Iran terhadap Israel mendedahkan bahawa Iran merupakan sebuah negara yang kuat dan setanding dengan negara kuasa besar dunia. Inilah yang menakutkan Israel dan negara yang bersekutu bersama Amerika Syarikat. Mereka mula menggerakkan bala tentera untuk berkumpul di Asia Barat membawa armadanya, sementara kapal-kapal induk yang berada di pangkalan mula bergerak kerana merasakan pangkalan yang telah ditetapkan dengan banyaknya di negara Arab tidak mencukupi.

Amerika Syarikat yang cuba menyerang Iran mengalami kegagalan dalam melemahkannya dan mendapat tentangan dalam negaranya sendiri.

Akhirnya, dikemukakan cadangan damai gencatan senjata kepada Iran dan kumpulan Islam yang gagal dikalahkan. Cadangan damai ini dikemukakan dengan cara membodohkan diri sendiri, supaya Gaza diserahkan kepada pentadbiran boneka Palestin dengan syarat Hamas bersama kumpulan Islamnya dihapuskan.

Adapun beberapa negara Arab bertindak menahan dan melarang para pemimpin Hamas di negara masing-masing mengikut arahan. Ada negara yang mengharamkan gerakan Ikhwanul Muslimin yang terkenal damai dan wasatiyyahnya semata-mata demi menunjukkan kebencian terhadap Islam, sepertimana yang diarahkan oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Apabila Amerika Syarikat cuba bertindak bersendirian terhadap Iran dengan menyerang loji nuklearnya disusuli bersama serangan Israel, tiba-tiba pangkalan tenteranya dipukul dengan serangan balas oleh bala tentera Iran.

Maka, terdedahlah betapa mereka sangat takut kepada Iran dan kebangkitan semula Islam bersamanya. Sehingga mengemukakan cadangan yang menunjukkan kebodohan dan mahu memperbodohkan dunia seluruhnya supaya diadakan perancangan damai dengan melucutkan senjata Iran dan kumpulan Islam. Sedangkan Israel dipersenjatakan sepenuhnya dan boleh menyerang pada bila-bila masa sahaja.

Suatu cadangan yang tidak berakal bijak oleh sebuah negara besar yang berlagak menjadi kuasa tunggal dunia. Mereka menyangka boleh mengarahkan negara lain untuk mengikut apa sahaja kehendaknya dengan bersifat samseng dan ganas, padahal inilah tanda-tanda awal kejatuhannya. Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَخۡرَجَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ مِن دِيَٰرِهِمۡ لِأَوَّلِ ٱلۡحَشۡرِۚ مَا ظَنَنتُمۡ أَن يَخۡرُجُواْۖ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُم مَّانِعَتُهُمۡ حُصُونُهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَأَتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِنۡ حَيۡثُ لَمۡ يَحۡتَسِبُواْۖ وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعۡبَۚ يُخۡرِبُونَ بُيُوتَهُم بِأَيۡدِيهِمۡ وَأَيۡدِي ٱلۡمُؤۡمِنِينَ فَٱعۡتَبِرُواْ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَبۡصَٰرِ ٢

“Dialah (Allah) yang mengeluarkan orang-orang kafir antara Ahli Kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama. Kamu tidak menyangka bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka daripada (seksa) Allah; maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka. Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka; mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang Mukmin. Maka, ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, wahai orang-orang yang mempunyai wawasan!” [Surah al-Hashr: 2]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Zulhijjah 1446 / 26 Jun 2025