KUALA NERUS – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan mencemar duli berangkat mengisytiharkan Koleksi Surat Persendirian Baginda Omar sebagai dokumen warisan dunia di bawah Program Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP), satu pengiktirafan tertinggi daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Majlis bersejarah itu turut dirasmikan sendiri oleh baginda, menzahirkan komitmen tinggi institusi diraja dalam memelihara khazanah warisan negara.
Dalam titahnya, Sultan Mizan menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai bukti bahawa koleksi warisan yang dikumpulkan sejak abad ke-19 merupakan aset sejarah bangsa yang bernilai tinggi di mata dunia.
“Beta dengan sukacitanya mengisytiharkan bahawa koleksi surat persendirian Baginda Omar secara rasminya telah diiktiraf sebagai dokumen warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Dan merasmikan Seminar Warisan Asia Pasifik Surat Persendirian Baginda Omar anjuran Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT),” titah baginda.
Pengisytiharan itu dimasyhurkan secara rasmi dalam Majlis Peristiharan dan Seminar Warisan Asia Pasifik Surat Persendirian Baginda Omar, yang berlangsung penuh adat istiadat di Dewan Sultan Mizan, UMT, di sini semalam.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut penuh istiadat oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandami, dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman.
Turut mengiringi baginda ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, serta paduka-paduka anakanda.
Koleksi bersejarah yang terdiri daripada 56 naskhah surat persendirian Sultan Omar, pemerintah ke-9 Terengganu dari tahun 1839 hingga 1876, telah terlebih dahulu diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada 30 September 2010.
Pengiktirafan antarabangsa oleh UNESCO ini bukan sahaja mengangkat martabat sejarah dan intelektual Terengganu, malah menjadi lambang keunggulan warisan ilmu, pentadbiran dan diplomasi Melayu yang terdokumentasi dengan penuh ketelitian sejak lebih satu abad lalu.