Home Berita PAS Terengganu

Dua Pejuang Islam Dihargai Dengan Anugerah Khas

10
SHARE

Oleh : Afiq

Dungun – Dua tokoh pejuang Islam yang telah kembali ke rahmatullah diberi penghormatan tertinggi apabila dianugerahkan Anugerah Khas Perjuangan sempena Mesyuarat Agung PAS Kawasan Dungun.

Katanya, anugerah tersebut disampaikan kepada waris Almarhum Haji Adri bin Dollah dan Almarhum Haji Zakaria bin Tahir sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa mereka dalam perjuangan menegakkan Islam di bawah panji Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Ahli Parlimen Dungun, YB Wan Hassan Mohd Ramli berkata, kedua-dua tokoh ini telah mengabdikan seluruh kehidupan mereka dalam medan dakwah dan perjuangan Islam.

“Mereka disifatkan sebagai individu yang mengabdikan seluruh kehidupan demi risalah dakwah, tidak pernah mengenal penat lelah dalam perjuangan dan setia berjuang hingga ke hembusan nafas terakhir.

Allahyarham Haji Adri Dolah

Semangat, ketegasan prinsip dan kelembutan nasihat mereka terus segar dalam ingatan para pendukung perjuangan,” jelasnya.

Beliau juga Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun berkata demikian dalam laman sosialnya pada Ahad lalu.

Beliau turut menyifatkan anugerah itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya sebagai pengiktirafan atas pengorbanan masa, tenaga, harta bahkan nyawa mereka demi memastikan obor perjuangan terus menyala di tangan generasi penerus.

“Ahli keluarga Almarhum hadir menerima anugerah ini diraikan dengan penuh hormat dan rasa syukur oleh seluruh saf kepimpinan serta hadirin yang membanjiri dewan.

“Pimpinan turut menzahirkan bahawa kehilangan mereka adalah satu kehilangan besar buat gerakan, namun legasi perjuangan mereka kekal menjadi sumber kekuatan dan inspirasi.

Allahyarham Haji Zakaria Tahit

“Sesungguhnya kami berhutang budi atas segala pengorbanan yang telah dicurahkan. Kami berdiri teguh bersama ahli keluarga dalam menyambung rantai perjuangan yang telah ditinggalkan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh warga yang mengenali Arwah untuk sama-sama menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat Almarhum Haji Adri Dollah dan Almarhum Haji Zakaria Tahir, dengan doa agar roh mereka ditempatkan bersama para pejuang, para solihin dan para anbiya’ di sisi Allah SWT.