KUALA TERENGGANU – Terengganu, Kelantan dan Pahang mempunyai potensi besar untuk terlibat dalam pembangunan teknologi masa hadapan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata negeri-negeri itu akan terus diberi perhatian dari segi pelaburan, pendidikan dan sokongan pembudayaan STI agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh.
“Sebagai contoh, pelaburan strategik dalam bidang seperti Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) di Terengganu bukan sahaja membuka ruang ekonomi baharu, malah memerlukan kemahiran khusus daripada tenaga tempatan.
“Ini menandakan betapa pentingnya usaha memperkasakan bakat dalam kalangan anak muda untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai industri teknologi tinggi negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2025 Zon Timur di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu.
Lebih 5,000 peserta terdiri daripada pelajar, guru, pensyarah, penyelidik dan pemain industri dari seluruh Pantai Timur hadir memeriahkan program Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan kerjasama aktif kerajaan negeri, institusi pendidikan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat dalam menjayakan agenda pembangunan bakat STEM dan inovasi.
Penganjuran Minggu Sains Negara 2025 turut menawarkan lebih 50 aktiviti dan pengisian menarik yang berteraskan STI untuk para pengunjung dan peserta di luar sana