Home Berita PAS Terengganu

Tuba, Renjatan elektrik gugat ekosistem sungai

5
SHARE

HULU TERENGGANU – Sungai-sungai di Terengganu terus berdepan kerosakan ekosistem akibat kegiatan haram seperti menuba ikan dan penggunaan renjatan elektrik, meskipun data terkini menunjukkan insiden ini semakin berkurang hasil peningkatan kesedaran masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kegiatan menuba yang menggunakan akar tuba (Derris elliptica) serta teknik kejutan arus elektrik masih berlaku dan memberi kesan langsung kepada sumber akuatik negeri.

“Aktiviti tuba ikan, yang menggunakan akar tuba dan renjatan elektrik pada ikan masih ada.

“Tapi pada akhir-akhir ini, mengikut data yang kita perolehi, angka itu sudah menurun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelepasan benih ikan , penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Nyukang; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.

Menurut beliau, pelaku kegiatan ini bukan hanya penduduk tempatan, malah terdapat laporan bahawa ia turut dipelopori oleh warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor dan menggunakan masa lapang mereka dengan cara merosakkan sumber.

“Kita dapat laporan di kampung-kampung, aktiviti terlarang ini dipelopori oleh warga asing.

“Pekerja asing yang datang bekerja di sini, antara kegiatan masa lapang dia ialah menangkap ikan dengan cara melanggar kaedah dan merosakkan sumber,” jelasnya.

Azman menyeru agar masyarakat menjadi barisan hadapan dalam memantau sungai dan segera melaporkan sebarang aktiviti haram demi menyelamatkan ekosistem air negeri.

“Kalau di laut, biar kita rasa laut itu milik kita, kalau di sungai, biar kita rasa sungai itu sungai kita.

“Cubalah jadi mata dan telinga untuk kita peka kepada kegiatan yang guna kaedah tangkapan yang merosakkan sumber seperti tuba, bom atau renjatan elektrik,” tambahnya.

Beliau menegaskan, dengan lebih 1,000 batang sungai dan perairan seluas 87,000 meter persegi, adalah mustahil untuk semua kawasan dipantau secara berkesan tanpa penglibatan komuniti setempat.

“Jabatan tentu sekali tidak sempat nak letak kakitangan sepanjang aliran sungai.

“Jadi orang kampunglah yang diminta perhatikan,” ujarnya.

Sebagai maklumat tambahan, menurut Akta Perikanan 1985 dan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993), penggunaan racun, bom atau arus elektrik dalam penangkapan ikan adalah dilarang sepenuhnya kerana boleh menyebabkan kepupusan spesies akuatik.

Individu yang didapati bersalah boleh dikompaun sehingga RM500, didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada polis, pejabat perikanan berhampiran, atau hotline Fishcom di 03-88885019 / 03-88704058.