KUALA TERENGGANU – Terengganu mengekalkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terbaik kebangsaan untuk tempoh enam tahun berturut-turut bagi peperiksaan 2024 yang diumumkan hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Che Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, negeri mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) terbaik iaitu 3.12 sekali gus mengatasi PNGK Nasional 2.85.
Menurutnya, daripada keseluruhan calon, seramai 110 calon memperoleh keputusan semua A penuh (PNGK 4.00), meningkat 31 calon berbanding 79 orang pada tahun 2023, manakala calon yang memperoleh semua A (gabungan A dan A-) pula berjumlah 162 orang.
“Secara keseluruhan, jumlah calon yang memperoleh sama ada semua A penuh atau gabungan semua A dan A- ialah 272 calon, menunjukkan peningkatan sebanyak 25 orang berbanding 247 calon pada tahun sebelumnya.
“Dalam aspek jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar, PNGK calon bandar pada kadar 3.15, manakala calon luar bandar 3.02 dengan jurang perbezaan sebanyak 0.13.
“Ia menunjukkan peningkatan sedikit berbanding jurang 0.06 pada tahun 2023,” katanya ketika pengumuman keputusan STPM di Dewan Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) di sini hari ini.
Beliau berkata, rekod prestasi sekolah turut memberangsangkan apabila 34 daripada 46 buah sekolah mencapai PNGK minimum 3.00 pada 2024 berbanding 36 buah sekolah pada tahun sebelumnya.
Sementara itu katanya, calon SMK Sultan Ahmad, Siti Asihah Othman muncul pelajar terbaik STPM 2024 peringkat kebangsaan.
Berdasarkan rekod, seramai 2,226 calon mendaftar menduduki peperiksaan STPM pada 2024 di 46 buah pusat peperiksaan di Terengganu.