
Minda Presiden PAS
[Bil: 38 / 2025]
ISLAM: KETETAPAN ALLAH YANG HARAM DICABAR
Islam adalah berasal daripada perkataan al-din bermakna kepatuhan dengan menyerah diri kepada Allah dalam perkara ibadat dan melaksanakan semua tugas yang menjadi tujuan mereka diciptakan. Islam turut dianut oleh semua makhluk yang nyata dan ghaib. Firman Allah SWT:
أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣
“Adakah yang lain daripada din Allah (Islam) mereka mahu percaya? Padahal menyerah kepada-Nya, semua makhluk di alam langit dan bumi secara taat (mengikut pilihannya) atau tabii (semula jadi), nanti mereka semua dikembalikan (ke alam akhirat untuk dibicarakan).” [Surah Ali ‘Imran: 83]
Ayat ini menunjukkan bahawa semua makhluk bukan sahaja ciptaan Allah, malah berada dalam pengurusan dan pemerintahan-Nya mengikut sifat masing-masing serta menyerah diri kepada Allah dengan taat dan patuh (Islam). Termasuk makhluk manusia yang diciptakan-Nya dengan sifat dan ciri kejadian berserta hikmah atau tujuan mereka diciptakan tanpa sia-sia. Firman Allah SWT:
أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ ١١٥
“Maka, adakah kamu mengira bahawa sesungguhnya, Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” [Surah al-Mu’minun: 115]
Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan kepujian, lagi Maha Suci daripada sebarang kekurangan dan kelemahan. Allah juga Maha Mengetahui perkara yang terbaik kepada makhluk-Nya.
Di samping itu, Allah Maha Rahmat dan Maha Penyayang terhadap hamba dan makhluk-Nya, maka Dia tetap mengadakan perkara yang terbaik kepada hamba-Nya yang tidak boleh dipertikaikan dan dibahaskan. Allah juga Maha Adil dan Maha Bijaksana, maka semua ketetapan Allah adalah benar serta wajib mengandungi hikmah yang terbaik dan terpuji.
Oleh itu, segala perkara selain daripada Islam pasti akan membawa kerosakan dan kemudaratan kepada hamba-Nya serta kemusnahan terhadap alam yang baik ini kerana ia bersifat lemah dan mempunyai kekurangan. Firman Allah SWT:
أَلَا يَعۡلَمُ مَنۡ خَلَقَ وَهُوَ ٱللَّطِيفُ ٱلۡخَبِيرُ ١٤
“Adakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu lahirkan atau rahsiakan); dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui?” [Surah al-Mulk: 14]
Maka, bagi makhluk manusia yang ditetapkan berfitrah jasad, nyawa, roh, akal, dan bermasyarakat, ditetapkan juga peraturan dan undang-undangnya dalam semua aspek tersebut. Hal ini penting bagi melaksanakan tugasnya dengan selamat mengikut kemampuan dan sempadan fitrahnya.
Dengan adanya ciri-ciri tersebut dalam kejadian manusia, maka Allah Pencipta alam memilih manusia yang diletakkan di atas muka bumi di alam dunia dengan tugas ibadah kepada Allah Pencipta alam, khilafah (mentadbir makhluk di bumi di alam dunia ini), dan amanah (melaksanakan petunjuk Allah yang merupakan undang-undang bagi mengurus alam dunia); suatu tugas yang tidak diberikan kepada makhluk yang lain. Firman Allah SWT:
۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠
“Dan sesungguhnya, telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Isra’: 70]
Manusia ditugaskan untuk mentadbir alam dunia dengan makhluk majmuk yang terdiri daripada pelbagai jenis bersamanya. Keadaan yang tidak sama dalam kemajmukan itu kerana mengandungi banyak kepelbagaiannya dan juga berubah-ubah keadaannya. Ada perkara yang tetap dan tidak mengalami perubahan, manakala ada juga yang berbeza dan berubah.
Maka, Allah membahagikan petunjuk-Nya berkonsepkan thawabit (tidak boleh diubah) dan mutaghayyirat (boleh berubah) yang berkonsepkan umum dengan sempadannya pada makhluk yang berbeza-beza serta keadaan dan masa yang berlainan.
Al-Quran yang menjadi petunjuk dinyatakan kandungannya melalui nas yang qat‘i (tetap serta tidak boleh diubah dan dicabar) dalam perkara fitrah, rukun agama, dan cara hidup yang tidak boleh dicapai oleh kemampuan akal dan jasad manusia.
Di samping itu, ada juga perkara yang berubah hukumnya dalam perkara yang berubah-ubah dan berbeza-beza yang dibolehkan berijtihad (memberikan pandangan ilmu, akal, dan pengalaman) dalam perkara kehidupan yang mampu dicapai oleh akal, pengalaman, dan kajian manusia mengikut sempadan fitrahnya.
Semua peraturan itu menjadi sempadan ketetapan Allah Pencipta alam yang wajib diterima dengan penyerahan diri (Islam) kerana wajib bersifat baik, benar, adil, dan sempurna. Apabila keluar daripada sempadannya, maka akan membawa kerosakan kepada dirinya dan makhluk yang lain, termasuk alam sekitar dalam perjalanan melaksanakan peranan masing-masing. Firman Allah SWT:
… تِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعۡتَدُوهَاۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٢٢٩
“…Itulah sempadan yang ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu melampaui sempadannya. Sesiapa yang melanggar sempadan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [Surah al-Baqarah: 229]
Bagi makhluk manusia, Allah Yang Maha Rahmat, Maha Bijaksana, dan Maha Adil menetapkan petunjuk-Nya melalui para nabi yang terpilih serta menjadi teladan dalam beramal dan memimpin daripada kitab yang telah diwahyukan. Firman Allah SWT:
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣
“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]
Jalan yang lurus (betul) itu satu sahaja, iaitu hanyalah Islam daripada Allah yang boleh memenuhi segala aspek dan ciri fitrah manusia. Semua agama dan ideologi yang diciptakan sendiri oleh manusia atau yang diubah disebabkan penyelewengan agama asal para nabi tidak memenuhi kejadian manusia dan melanggar sempadan ketetapan Allah. Maka, hukumnya adalah sesat, salah, serta membawa kerosakan kepada dunia, penduduk, dan alam sekitarnya. Firman Allah SWT:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
Oleh itu, jalan yang lurus (betul dan benar) adalah satu sahaja, iaitu Islam. Allah SWT mengajar supaya kita memohon pertolongan-Nya dalam tiap-tiap rakaat solat dengan menyebut:
ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦
“Tunjukilah kami jalan yang lurus.” [Surah al-Fatihah: 6]
Maka, agama dan ideologi yang lain adalah tidak sama dengan Islam. Oleh sebab itu, perkataan Islam tidak boleh disalahgunakan sewenang-wenangnya kepada yang lain daripadanya. Fahaman pluralisme yang menyamakan semua agama adalah salah dan sesat. Allah SWT menegaskan dengan firman-Nya:
ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ ١٤٧
“Kebenaran itu adalah daripada Tuhanmu. Oleh sebab itu, jangan sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu.” [Surah al-Baqarah: 147]
Allah memilih para anbiya’ daripada kalangan manusia yang terbaik akhlak dan akal mereka serta berilmu dan dikawal oleh wahyu, sehingga mereka terselamat daripada kesalahan kerana menyampaikan yang benar daripada Allah dan menjadi model kepada seluruh manusia.
Mereka selamat daripada dosa sehingga lebih mulia daripada para malaikat yang mulia, kerana akal mereka yang tajam dapat mengawal nafsu apabila berada di alam bumi yang sangat majmuk dengan sifat baik atau jahat mahupun benar atau sesat.
Maka, kitab daripada Allah dan Rasul yang dipilih itu membawa Islam yang wajib ditinggikan kedudukan dan kekuasaannya agar berdaulat di alam bumi, sehingga tidak boleh dipertikaikan dan dicabar oleh semua makhluk-Nya. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan petunjuk dan din yang sebenar, sehingga mengatasi segala ajaran (agama dan ideologi) yang lain, walau dibenci oleh orang-orang Musyrikin.” [Surah al-Saff: 9]
Firman Allah SWT:
غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥
“Sesiapa yang berpegang kepada yang lain daripada Islam menjadi din (yang dianut), nescaya dia tidak diterima oleh Allah, dan di akhirat nanti dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.” [Surah Ali ‘Imran: 85]
Maka, kedudukan Islam tidak boleh dicabar kerana Islam adalah daripada Allah, Tuhan yang menciptakan seluruh alam.
Oleh itu, umat Islam menyebut dalam tiap-tiap rakaat solat mereka supaya beristiqamah bersama Islam dan menolak yang lain daripadanya:
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧
“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (1) Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. (2) Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (3) (Tuhan) yang menguasai pada Hari Pembalasan. (4) Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan. (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau berikan ni‘mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (7)” [Surah al-Fatihah: 1–7]
Semua kerajaan di alam dunia ialah ketetapan Allah SWT yang mewujudkan kebebasan bagi menguji manusia sebagaimana firman-Nya:
تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢
“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nya jua segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) (Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]
Maka, umat Islam wajib mempertahankan ketinggian Islam dan menentang sesiapa sahaja yang merendahkan kedudukan Islam.
Islam membawa konsep tiada paksaan untuk seseorang itu memeluk Islam kepada penganut bukan Islam kerana keislaman seseorang itu diwajibkan dengan keikhlasan hatinya sendiri. Namun, kedudukan Islam wajib ditinggikan agar berkuasa serta tidak mengizinkan Islam dihina dan direndahkan kedudukannya.
Kita masih berada dalam keadaan yang dipaksa oleh penjajah setelah jatuhnya kerajaan Islam. Kini, kita telah merdeka dan penjajah asing sudah pun keluar, sementara telah diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Maka, kedudukan perlembagaan dan undang-undang yang ditanam oleh penjajah yang masih tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan wajib dihapuskan.
Pada masa dahulu, para hakim veteran yang bijaksana seperti Tun Suffian Hashim, Tun Salleh Abas, Tan Sri Harun Hashim, Tun Ahmad Fairuz, Tun Abdul Hamid, dan lain-lain melakukan kebijaksanaan dengan merungkaikan yang tersirat tanpa merendahkan Islam, sementara perubahan tetap dilakukan.
Namun begitu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan pengikut-pengikut mereka yang mempertahankan warisan penjajah cuba menegakkan kembali langkah sesat yang dilakukan oleh penjajah dahulu bagi merendahkan kedudukan Islam.
Ada kalangan yang mengaku Islam membawa pendekatan haddathah (pembaharuan) yang berjenama Islam dengan membawa perubahan cara Barat sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap agama Yahudi dan Kristian atas nama agama. Mereka membawa pelbagai jenama dengan menempelkan bahasa al-Quran atau menempelkan Islam kepada perkataan bahasa penjajah. Cara ini diberikan amaran oleh Allah SWT:
فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ ٧٩
“Maka, kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dia mengatakan, ‘Ini daripada Allah,’ (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka, kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang mereka kerjakan!” [Surah al-Baqarah: 79]
Langkah biadap terhadap Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor juga ialah langkah mereka yang sumbang terhadap Islam.
Allah SWT berfirman terhadap Firaun yang menggunakan mahkamah dan undang-undang yang salah terhadap mereka yang beriman:
قَالُواْ لَن نُّؤۡثِرَكَ عَلَىٰ مَا جَآءَنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلَّذِي فَطَرَنَاۖ فَٱقۡضِ مَآ أَنتَ قَاضٍۖ إِنَّمَا تَقۡضِي هَٰذِهِ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَآ ٧٢
“Mereka (orang beriman) berkata, ‘Kami sekali-kali tidak akan mengutamakan kamu daripada bukti-bukti yang nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami dan daripada Tuhan yang telah menciptakan kami; maka putuskanlah (keputusan mahkamah kamu) apa-apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya, kamu hanya akan dapat memutuskan dalam kehidupan di dunia ini sahaja.’” [Surah Taha: 72]
Rasulullah SAW bersabda:
الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: وَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ، وَاثْنَانِ فِي النَّارِ، فَأَمَّا الَّذِي فِي الْجَنَّةِ: فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ، وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِي الْحُكْمِ فَهُوَ فِي النَّارِ، وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ.
“Bahawa para hakim itu ada tiga jenis; satu jenis ke Syurga dan dua jenis ke Neraka. Hakim yang nasibnya ke Syurga ialah hakim yang mengetahui perkara yang benar, lalu dia menghukum dengannya. Hakim yang mengetahui perkara yang benar, tetapi dia zalim dalam menghukum (menolak kebenaran), maka nasibnya ke Neraka. Hakim yang jahil tanpa pengetahuan yang benar, lalu dia menghukum dengan kejahilannya, maka nasibnya ke Neraka juga.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Qada’, no. 3573, al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Ahkam, no. 1322, dan lain-lain perawi daripada Buraidah bin al-Husaib. Lafaz bagi Abu Dawud]
Allah SWT mencabar sesiapa yang berani menolak Islam dengan firman-Nya:
وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ ٢٤
“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), maka buatlah satu surah (saja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23) Oleh itu, jika kamu tidak dapat membuatnya (satu surah) — dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, maka peliharalah dirimu daripada Neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir (yang menentangnya). (24)” [Surah al-Baqarah: 23–24]
Ternyata benarnya Islam apabila para ilmuwan yang tersohor dalam kalangan bukan Islam melakukan kajian ilmiah secara jujur atau perbahasan ilmu menyatakan ketinggian ilmu Islam tidak boleh diatasi dan dicabar. Sehinggakan, Islam diambil sebagai rujukan oleh penjajah yang mengambil hasil para ulama’ Islam dalam segala ilmu, termasuk pencapaian dalam bidang sains dan teknologi yang dicapai oleh mereka pada hari ini.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Zulhijjah 1446 / 25 Jun 2025