KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Santapan Malam Diraja Sempena East Coast Energy (ECE) 2025 bertempat di Primula Beach Resort.
Majlis Santapan Malam Diraja ini diadakan sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif kebajikan serta sebagai platform memperkukuh hubungan strategik antara pemain industri dan komuniti tenaga, terutamanya mereka yang bakal memainkan peranan penting dalam ECE 2025.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda.
Menyambut ketibaan paduka-paduka baginda, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), Dr. Ts. Muhtar Suhaili serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Dato’ Faisal berkata, ECE 2025 anjuran bersama Informa Markets yang dijadualkan berlangsung pada 23 sehingga 24 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) itu mendapat sokongan dan penyertaan yang baik daripada pemain industri serta pihak yang berkenaan.
“Bertemakan ‘Innovating Energy, Elevating East Coast’, ECE 2025 merupakan inisiatif strategik negeri Terengganu dalam memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam landskap tenaga negara.
“Ia selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim dan pembangunan mampan sejagat.
“Platform ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pembuat dasar, agensi kerajaan, pelabur, pakar industri serta peneraju teknologi dalam satu ekosistem yang menyokong kolaborasi dan perkongsian ilmu demi menjayakan transformasi tenaga yang berdaya tahan, cekap dan inklusif.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu ECE 2025 berkata demikian ketika sembah ucapan Majlis Santapan Malam Diraja, semalam.
Persidangan itu turut menampilkan pameran bertaraf antarabangsa, menarik penyertaan lebih 800 perwakilan dengan tumpuan khusus terhadap masa hadapan sektor tenaga.
Majlis yang bermula tepat jam 8.40 malam dengan jangka selama 2 jam itu tadi telah menyaksikan persembahan kebudayaan dan artis jemputan serta penyerahan cek sumbangan berjumlan RM200,00 daripada EPIC Berhad kepada Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM).
Terdahulu, Sultan Mizan telah berkenan mencemar duli ke Karnival dan Majlis Santapan Teh Petang sempena Sambutan Dua Dekad YDSM bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER).