Home Berita PAS Terengganu

Kematian Nurly hidupkan jiwa dekati Al-Quran

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Tiga minggu telah berlalu tragedi melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), namun kisah Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman masih tular di media sosial dan terus menjadi bualan ramai kerana memberi kesan yang mendalam serta menghidupkan jiwa masyarakat untuk mendekati al-Quran.

Sehingga kini, rumah Allahyarhamah masih dikunjungi orang ramai dan yang menariknya, para penziarah turut berpeluang melihat tulisan tangan beliau yang menyalin semula al-Quran, dikatakan sebagai kaedah beliau untuk menghafal mukjizat suci itu.

Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah berkata, kematian Nurly menjadi bukti betapa hebatnya darjat seorang penghafal al-Quran yang bukan sahaja mulia di sisi Allah, bahkan turut disebut-sebut serta dimuliakan oleh manusia ketika masih di dunia.

“Kami sendiri telah menziarahi rumah Allahyarhamah Hafizah Nurly dan kami mendapati memang benarlah seperti yang disebut-sebut orang selama ini beliau benar-benar pencinta al-Quran.

“Ini dapat dilihat melalui tulisan tangan beliau sendiri, di mana setiap kalimah yang ditulis sangat tepat dan menepati mashaf al-Quran Uthmani. Bertuahlah dirinya, ibu bapanya serta para guru yang pernah membimbingnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan video yang dimuat naik di Facebook rasmi i-MiTS, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Kamaruzaman berkata banyak pengajaran yang boleh diambil daripada pemergian Allahyarhamah Nurly Shahirah, hingga Allah memilih untuk menyedarkan orang ramai tentang kelebihan membaca al-Quran melalui kisah hidupnya.

“Bacalah al-Quran secara konsisten kerana ia mampu memberi syafaat kepada yang membacanya. Datanglah menziarahi rumah arwah Nurly ini, mudah-mudahan ada sesuatu yang Allah SWT kurniakan kepada kita, insya-Allah,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial bahawa ketika jenazah Allahyarhamah ditemui pasukan penyelamat, beliau berada dalam keadaan memeluk al-Quran. Turut ditularkan ialah satu rakaman video yang mendakwa lokasi kemalangan itu dihiasi dengan bau wangi yang luar biasa.