Home Berita PAS Terengganu

ECE 2025 : Masa depan tenaga hijau Malaysia bermula di Terengganu

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 membuka lembaran baharu dalam sejarah tenaga negara apabila Terengganu tampil sebagai peneraju transformasi tenaga bersih, sekali gus menyalakan obor masa depan hijau Malaysia melalui pelaburan strategik, inovasi teknologi dan kerjasama serantau yang berimpak tinggi.

Pihak ECE 2025 dalam satu kenyataan memaklumkan, persidangan sulung yang berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini menghimpunkan lebih 900 perwakilan termasuk pembuat dasar, pemimpin industri tenaga, pelabur dan inovator dari dalam dan luar negara.

Ujar kenyataan berkenaan, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan penganjuran ECE 2025 menjadi simbol tekad dan gerakan besar untuk menjadikan Terengganu sebagai peneraju dalam transformasi tenaga bersih berasaskan inovasi, ketahanan dan pemerkasaan serantau.

Dengan tema ‘Inovasi Tenaga, Memacu Pantai Timur’, ECE 2025 memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu Memperkasa Komuniti Tempatan, Keselamatan dan Inovasi Tenaga, Peralihan Tenaga dan Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

Ucapan khas turut disampaikan oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong yang menegaskan komitmen PETRONAS dalam membentuk masa depan industri tenaga di Pantai Timur.

“Pantai Timur kekal sebagai wilayah berpotensi besar. PETRONAS mengambil langkah proaktif untuk menarik pelabur, mempercepat transformasi dan membawa kemajuan berimpak tinggi,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan ECE 2025.

Baginda diiringi Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Penaung Eksekutif ECE 2025.

Turut hadir ialah Pengerusi ECE 2025, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili, serta beberapa wakil kanan PETRONAS dan agensi teknikal lain.

Selain forum berimpak tinggi, ECE 2025 turut menampilkan pameran teknologi tenaga hijau, program outreach komuniti termasuk rawatan pergigian kepada lebih 300 penduduk luar bandar, serta Program Pemimpin Muda yang menghubungkan pelajar dan profesional muda dengan mentor sektor tenaga.