Home Berita PAS Terengganu

Labuh 12 tukun konservasi, pujuk ikan ‘berkampung’ di Terengganu

4
SHARE

SETIU – Sebanyak 12 tukun konservasi dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Redang, hari ini sebagai usaha memperkaya pembiakan ikan dan hidupan laut.

Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, program yang dimulakan sejak tahun 2006 itu dipertingkatkan kuantitinya sejak tahun 2018 dan ke atas bagi memastikan keterjaminan hasil laut negeri tersebut.

“Tahun ni selain 12 yang dilabuhkan tadi, kita ada 80 tukun rekreasi yang akan dilabuhkan di beberapa daerah termasuk Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang akan dapat 16 unit bagi setiap lokasi.

“Insya-Allah akan bermula mungkin pertengahan atau minggu keempat bulan Ogos bergantung kepada proses pembuatan tukun itu.

“Alhamdulillah, setakat ini berdasarkan data dan kajian, tukun kita memberi impak positif terhadap peningkatan hasil tangkapan nelayan pantai dan dalam masa sama berfungsi sebagai penampan bagi pukat tunda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program melabuh tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda (konservasi) bersama Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang, yang berakhir tengahari tadi.

Menurut Dr. Azman, usaha itu semakin memperlihatkan hasil dengan peningkatan hasil tangkapan sebanyak 39 peratus, daripada 33,000 metrik tan kepada 46,000 metrik tan.

“Data untuk tahun 2024 masih menunggu, Insya-Allah (keluar) Julai ini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu. Berdasarkan maklum balas di lapangan ini, kita yakin hasil tangkapan meningkat.

“Kita (kerajaan negeri) mahu wujudkan garis sempadan tukun dari Kemaman ke Besut sejauh 245 kilometer dengan setiap kilometer kita sasarkan ada satu kelompok tukun.

“Sekarang, telah ada 1,600 unit tukun dari Besut ke Kemaman dan apabila program garisan tukun berjalan lancar, hasrat kita ialah ingin melindungi zon tangkapan nelayan pantai dalam jarak lima batu nautika dari pantai, daripada pencerobohan terutamanya pencerobohan pukat tunda,” jelasnya.

Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan negeri melalui portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi menyasarkan sebanyak 80 ke 100 tukun rekreasi akan dilabuhkan setiap tahun.