Home Berita PAS Terengganu

Terengganu pimpin pembangunan tenaga boleh diperbaharui – Petronas

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri peneraju dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong dalam ucapan beliau sempena Seminar East Coast Energy (ECE) 2025 di Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, perkara itu boleh dilihat menerusi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi termasuk Ladang Solar Terapung Hibrid Kenyir dan pembangunan hab hidrogen hijau pertama di Terengganu.

“Projek Ladang Solar Terapung Hibrid Kenyir mampu menjana sehingga 1,000 megawatt kuasa solar dan separuh daripada kapasiti tersebut akan digerakkan khusus untuk projek hab hidrogen hijau pertama Terengganu hasil kerjasama Terengganu Inc, PETRONAS,TNB,” katanya.

Tambah beliau, langkah tersebut bukan sahaja meneruskan legasi Terengganu sebagai pemain utama industri minyak dan gas negara, malah menandakan permulaan era baharu di mana negeri itu memimpin peralihan kepada tenaga bersih dan lestari.

“Projek ini akan terus meletakkan Terengganu di peta, memperkukuh legasi minyak dan gas serta memimpin tenaga boleh diperbaharui,” ujar beliau lagi.

Selain tumpuan kepada pembangunan tenaga hijau, PETRONAS juga ujarnya terus komited dalam memperkasa komuniti setempat serta memelihara kelestarian alam sekitar di Terengganu.

“Antara inisiatif utama yang turut digerakkan PETRONAS di negeri ini termasuk Akademi Peralihan Tenaga PETRONAS ditubuhkan di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), Terengganu, bagi melatih tenaga kerja masa depan dalam industri rendah karbon.

“Program Pembangunan Vendor dan Pembiayaan yang telah menyalurkan lebih RM342 juta kepada 54 syarikat berasaskan Terengganu sejak 2018, serta melibatkan penyertaan aktif 10 vendor tempatan di bawah program pembangunan vendor Bumiputera.

“Projek Pemuliharaan Marin seperti Rigs-to-Reef dan Tubular-to-Reef yang berjaya meningkatkan biodiversiti ikan sehingga 30 peratus, mencatat peningkatan tahunan 10 peratus dalam nutrien ikan dan pengesanan 42 spesies unik di sekitar struktur terumbu tiruan di Pulau Kapas,” jelasnya.

Ir. Bacho turut menegaskan bahawa pembangunan pesat sektor tenaga tidak seharusnya terhad kepada keuntungan industri semata-mata, sebaliknya perlu memberi impak secara menyeluruh kepada kehidupan masyarakat dan alam sekitar.

“Dengan pelbagai inisiatif strategik dan sokongan menyeluruh daripada semua pihak, Terengganu dilihat semakin kukuh mendepani perubahan dan berpotensi menjadi hub tenaga baharu negara menjadikan Pantai Timur bukan sahaja pengeluar utama sumber tenaga, malah peneraju transformasi ke arah masa depan yang lebih lestari dan mapan,” tambah beliau.