Home Berita PAS Terengganu

Kontraktor gagal akan dituntut ganti – Dr. Azman

9
SHARE

HULU TERENGGANU – Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada kontraktor yang gagal membekalkan benih ikan dan udang berkualiti apabila sejumlah anak udang yang dilepaskan ke sungai didapati mati dan terapung.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa pihak kontraktor akan diminta menggantikan benih tersebut.

“Macam yang kita tengok tadi semua yang turun ke sungai tengok anak udang yang kita lepas tu banyak yang terapung daripada yang boleh berenang.

“Kita tidak akan berkompromi dalam soal kualiti. Kontraktor sudah diberi jadual pelepasan benih jam 9 pagi. Mereka perlu merancang waktu perjalanan dan keadaan penyimpanan benih dengan teliti.

“Maka kita akan tuntut semula dengan kontraktor. Maknanya setiap sen daripada duit rakyat kita mesti pastikan supaya ia sampai kepada rakyat dalam bentuk manfaat.

“Insya-Allah kita mari lepas semula yang tidak hidup.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Dan Insentif Input Akuakultur Serta Pelancaran Penandaan Peralatan Menangkap Ikan Nelayan Darat, semalam.

Menurut Dr. Azman, perkara itu terkandung dalam kontrak dan kerajaan negeri akan memastikan setiap sen peruntukan digunakan sebaik mungkin demi manfaat maksimum kepada rakyat.

Tambahnya lagi, pendekatan pelepasan benih secara berperingkat pada tahun ini membolehkan pemantauan rapi dijalankan bagi menilai keberkesanan program dan menambah baik pelaksanaannya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan rasa syukur apabila kerajaan negeri berjaya mendapat peruntukan yang lebih baik dibawah dana kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan.

“Tahun ini alhamdulillah, negeri Terengganu mendapat satu jumlah yang agak besar dibawah dana kerjasama keterjaminan makanan kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian.

“Kita dapat sehingga 20 projek. Dan diantara projek itu ialah agihan ‘input’ dan juga pelbagai bantuan kepada sektor nelayan sama ada nelayan darat, nelayan pantai dan juga penternak akuakultur.

“Dan ia akan menyusul satu persatu dan insya-Allah kita akan selesaikan sebelum hujung tahun 2025,” jelasnya.

Sehingga 15 Jun 2025, 596,00 ekor benih yang telah dilepaskan di perairan Terengganu adalah dari Pusat Pengembangan Akuakultur Perikanan di Pahang serta Pusat Penetasan Udang Galah di Perak.