Home Berita PAS Terengganu

LGBT: Desak Kerajaan Pusat Ambil Tindakan Tegas

7
SHARE

Oleh : RR

SETIU – PAS desak kerajaan segera bertindak tegas terhadap budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang semakin berani dan mencabar hukum Islam serta norma masyarakat.

Teguran keras itu disuarakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, YB Dato’ Seri Dr. Haji Shahidan Kassim yang kecewa apabila lebih 188 laporan telah dibuat tetapi masih tiada tindakan jelas diambil oleh pihak berkuasa.

““Kepimpinan PAS sendiri boleh membuat keputusan pada hari ini untuk membawa isu LGBT ini agar tindakan tegas diambil oleh kerajaan. Ini bukan benda main-main.

Ini isu hukum, dan pernah berlaku dalam sejarah bagaimana kemurkaan Allah menimpa kaum yang terlibat dalam perbuatan ini,” tegasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu kali ke 47 di Dewan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, pada Sabtu.

Dato’ Seri Dr. Haji Shahidan juga memaklumkan bahawa PAS akan menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus membongkar dan mengemukakan lebih banyak laporan bagi menekan kerajaan agar tidak terus berdiam diri terhadap ancaman yang semakin berleluasa itu.

“Saya akan gerakkan NGO supaya akan keluar lebih banyak laporan dan kerajaan kena ambil tindakan tegas kepada isu LGBT,” ujarnya.

Beliau menambah, PAS boleh bawa usul ini dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS berkaitan dengan isu yang semakin meruncing lebih-lebih lagi golongan muda.