Oleh : Syahida Mohd/Safwan Syakir
KUALA NERUS – Program YB Cakna Komuniti Sejahtera di lokaliti Duyong dan Pulau Ketam berjaya dianjurkan dengan sambutan luar jangka, menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana santai dan mesra komuniti.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Tunggal dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat itu bermula seawal jam 5.45 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid berkata, program seumpama itu akan diperluas ke lokasi lain secara berkala bagi memastikan setiap komuniti dalam DUN Bukit Tunggal mendapat manfaat.
“Kita rancang untuk adakan program YB Cakna Komuniti ini di setiap lokaliti, dua atau tiga bulan sekali. Ini usaha kita untuk lebih dekat dengan rakyat dan mendengar sendiri permasalahan mereka,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah pertandingan mewarna.
Antara pengisian utama sepanjang program termasuk gotong-royong di Kubur Cengal, pemeriksaan kesihatan percuma, sukaneka di Hujung Tanjung Pulau Ketam, pertandingan memasak, serta aktiviti ziarah komuniti dua sesi (pagi dan petang).
Turut menarik perhatian adalah inisiatif penukaran minyak hitam secara percuma untuk penduduk Pulau Sekati sebagai tanda cakna terhadap kesejahteraan rakyat.
Seorang penduduk, Zahawi Puteh, 60, dari Kampung Duyong Kelab Aya menyambut baik penganjuran program sebegini yang menurutnya mampu merapatkan jurang antara wakil rakyat dan golongan yang jarang keluar rumah akibat keuzuran.
“Memang perlu program macam ni dibuat selalu. Ada orang tak mampu nak keluar rumah kerana sakit atau kekangan lain. Jadi bila wakil rakyat datang jumpa, barulah kita tahu masalah sebenar mereka,” ujarnya.