Home Berita PAS Terengganu

Penyu mati, paru-paru cedera parah terima hentakan kuat

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seekor penyu hijau (Chelonia mydas) ditemui mati terapung berhampiran Teluk Dalam, Pulau Redang baru-baru ini akibat kerosakkan teruk pada paru-paru selepas terhentak kuat pada objek tertentu.

Penemuan menyedihkan itu dilakukan oleh pasukan penyelidik dari Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam misi pemuliharaan penyu dan ekosistem marin di kawasan Taman Laut Malaysia.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT, Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, hasil bedah siasat mendapati penyu yang dianggarkan berusia 10 tahun itu mengalami kecederaan parah pada paru-paru serta keretakan teruk pada cangkerang dipercayai akibat hentakan kuat.

“Pemerhatian lanjut menunjukkan berlaku pendarahan dalaman dan keradangan pada organ pernafasan yang menyebabkan penyu itu lemas,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, insiden kematian penyu ini menimbulkan kebimbangan terhadap kesan aktiviti pelancongan tidak terkawal di kawasan Taman Laut, khususnya pemanduan bot laju di habitat sensitif.

“Kami dapati peningkatan aktiviti pelancongan yang tidak dipantau rapi termasuk pergerakan bot laju secara sembarangan memberi tekanan besar kepada ekosistem marin dan hidupan terancam seperti penyu,” katanya.

Lebih membimbangkan, penyu-penyu di perairan Pulau Redang diketahui jinak dan tidak menghindari kehadiran manusia serta bot, menjadikan mereka lebih terdedah kepada perlanggaran.

“Maklumat tidak rasmi daripada komuniti setempat menganggarkan sekurang-kurangnya dua ekor penyu mati setiap bulan,” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru agar penguatkuasaan lebih tegas dilaksanakan terhadap sebarang aktiviti pelancongan yang mengancam hidupan marin.

Katanya, standard kompetensi pemandu bot pelancong perlu diperkukuh termasuk aspek pengetahuan zon larangan kelajuan dan kawasan habitat sensitif.

“Kerjasama rentas agensi dan komuniti setempat juga perlu diperkasa bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan seiring dengan usaha memelihara biodiversiti marin negara,” ujarnya.