Home Berita PAS Terengganu

SST : Shahidan minta PM bersumpah

9
SHARE

SETIU – Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim meminta Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim  bersumpah  bahawa kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan menaikkan harga barangan.

Katanya, kegagalan seorang pemimpin menunaikan janji, khususnya yang dibuat secara terbuka adalah sesuatu yang amat tidak wajar kerana mencerminkan kelemahan integriti kepimpinan.

Ujar beliau, seorang pemimpin sepatutnya menunjukkan teladan baik dengan berpegang teguh kepada janji, bukannya menjadikan isu sebagai modal politik semata-mata.

“Perdana Menteri (PMX) perlu bersumpah dengan nama Allah bahawa tiada sebarang kenaikan harga barang berkaitan pelaksanaan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula 1 Julai ini.

“Jika tidak, ia hanya tinggal janji kosong kerana kita perlu bertanggungjawab dari sudut hukum,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu kali ke-47 di Dewan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, pada semalam.

Menurut beliau, dalam Islam janji adalah amanah dan tidak boleh dimain-mainkan.

“Kalau orang Islam sendiri berani buat janji secara terbuka, tetapi tidak tunaikan itu amat mengecewakan.

“Nanti orang bukan Islam pun tak akan hormat pada kita. Orang Islam sendiri pun sudah tidak peduli. Bersumpah, Anwar, tak jadi (laksanakan),” tegas beliau.

Mengulas isu kemungkinan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau melahirkan kebimbangan bahawa kerajaan mungkin menggantikannya dengan pelaksanaan SST secara menyeluruh, walaupun sebelum ini menolak GST atas alasan ia membebankan rakyat.

“Kalau kerajaan melaksanakan GST secara menyeluruh, maka SST ini akan digantikan sepenuhnya, jika itu yang cuba dipertahankan mereka.

“Seluruh dunia menggunakan GST, tetapi sekarang mereka mungkin kata mahu perkenalkannya secara berperingkat atau ditangguhkan dahulu.

“Saya pun tak pasti, apa sebenarnya yang dimaksudkan ‘General Service Tax’ atau ‘Goods and Services Tax’?” soalnya secara sinis.