Home Berita PAS Terengganu

RM2 juta pulih Sekayu, bakal beroperasi pada Julai

8
SHARE

HULU TERENGGANU – Taman Pertanian Negeri Sekayu yang pernah menjadi ikon pelancongan Terengganu kini dalam fasa kebangkitan semula selepas menerima peruntukan pemulihan berjumlah RM2 juta, dan dijangka kembali dibuka kepada pengunjung seawal Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata proses baik pulih dilaksana secara berperingkat ekoran kerosakan teruk yang berlaku akibat banjir besar, gangguan gajah liar dan fenomena kepala air pada tahun 2022.

“Pagi ini, saya bersama Pengarah Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail turun ke lokasi meninjau usaha pemulihan taman yang pernah menjadi tumpuan seluruh negara.

“Taman ini pernah gemilang, namun kini sunyi dan rosak akibat bencana alam.

“Kita mulakan semula dengan bajet yang terhad,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ke Taman Petanian Negeri Sekayu, di sini hari ini.

Menurutnya, kerja pemulihan tidak dijalankan secara menyeluruh sekali gus, sebaliknya dilakukan secara bertahap dengan penglibatan pelbagai jabatan dan komuniti tempatan.

“Setakat ini, lebih RM2 juta disalurkan untuk membaik pulih kawasan-kawasan utama.

“Saya berterima kasih kepada Pejabat ADUN Telemong, JKR, Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan semua agensi yang mengambil kawasan angkat untuk dijaga dan diceriakan semula,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam tempoh setahun ini, banyak perubahan ketara telah dicapai hasil semangat gotong-royong dan komitmen semua pihak.

“Taman tema air di sini sangat unik kerana menggunakan air semula jadi yang mengalir secara graviti tanpa pam.

“Kita juga ada pelbagai spesies pokok buah, tapak perkhemahan dan kemudahan aktiviti outdoor yang mampu tarik pengunjung,” tambahnya.

Beliau memaklumkan kadar bayaran masuk masih dalam pertimbangan, namun ia dijamin sangat rendah dan tidak membebankan.

“Bayaran masuk belum ditentukan, tapi kalau ada pun hanya bayaran minimum seperti parkir.

“Jangan risau soal bayaran, keindahan taman ini jauh lebih berharga daripada harganya,” ujarnya.