Home Berita PAS Terengganu

33,000 Benih ikan dilepaskan di Kampung Temir

5
SHARE

HULU TERENGGANU – Sebanyak 33,000 ekor benih ikan telah dilepaskan di Sungai Terengganu, Kampung Temir, Hulu Terengganu.

Program kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu itu menyaksikan pelepasan 30,000 benih udang galah, 2,000 benih ikan lampam sungai dan 1,000 baung sungai yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM9,500 melalui peruntukan kerajaan negeri.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang

Pengarah DOF Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, program itu merupakan salah satu inisiatif dibawah Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024 – 2030 subsektor perikanan.

Menurutnya, ia merujuk kepada strategi memperkaya sumber perikanan melalui program serta pelepasan benih ikan ke perairan umum negeri Terengganu.

“Objektif utama Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum adalah bagi meningkatkan sumber dalam memastikan keterjaminan makanan.

“Disasarkan sebanyak 350,000 ekor benih ikan dilepaskan setiap tahun,” katanya.

Menurut beliau, program sedemikian juga dapat membantu meningkatkan ekonomi nelayan darat serta menjadi pemangkin aktiviti perikanan rekreasi dan eko-pelancongan.

“Program pelepasan benih ikan ini dijangka akan memberi manfaat bagi 178 orang nelayan darat yang berdaftar.

“Selain itu, ia juga akan memberi manfaat kepada penduduk setempat serta pengusaha eko-pelancongan.

Pang berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Dan Insentif Input Akuakultur Serta Pelancaran Penandaan Peralatan Menangkap Ikan Nelayan Darat, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.

Pada tahun 2025, kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah RM280,000 peruntukan bagi perolehan benih ikan dan bantuan peralatan nelayan darat.

“Dianggarkan sebanyak 346,000 ekor benih ikan dan udang akan dilepaskan ke perairan seluruh daerah.

“Antara benih ikan yang akan dilepaskan adalah terdiri daripada baung sungai, lampan sungai, udang galah, siakap dan kelah,” jelasnya.