KUALA TERENGGANU – Penaja Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) telah mengumumkan pembukaan sebanyak 300 juta unit AHB, mulai hari ini.
Pengerusi PHB, Yang Mulia Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda berkata pembukaan itu boleh dilanggan oleh pelabur bumiputera di seluruh negara, khususnya di wilayah Pantai Timur.
“300 juta unit AHB ini merupakan peluang terbaik bagi Bumiputera, untuk menjadikan AHB sebagai instrumen utama pelaburan dan simpanan mereka dengan risiko yang rendah serta disokong oleh aset hartanah sebenar.
“Sebagai penaja kepada AHB, saya berbesar hati untuk berkongsi sedikit maklumat bahawa sehingga hari ini AHB telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 82,000 pelabur individu Bumiputera dan sekitar 19 institusi pelaburan Bumiputera.
“Setiap pelabur ini memiliki pegangan unit dalam hartanah strategik yang menjana pendapatan sewaan tetap dan pemilikan benefisial hartanah komersial bernilai tinggi,” katanya ketika sembah ucapan dalam majlis perasmian pusat beli-belah Mayang Mall, semalam.
Menurut Tan Sri Arshad, sejak pelancarannya pada tahun 2010, sebanyak RM2.32 bilion pendapatan telah diagihkan kepada pelabur AHB.
Mengulas lebih lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PHB, Mohamad Damshal Awang Damit menjelaskan pembukaan sedia ada itu ditujukan kepada individu yang berminat untuk melanggan pelaburan tersebut.
“Sempena majlis perasmian Mayang Mall pada hari ini, kami akan memberi keutamaan kepada rakyat Terengganu (untuk melanggan AHB).
“Untuk makluman, individu Terengganu yang melanggan kepada AHB secara kasarnya lebih dalam 2800 orang. Keseluruhan pelaburan dalam Terengganu lebih kurang 200 juta, jadi ianya amat membanggakan.
“Walaupun baru buka hari ini, respon dalam pembukaan akaun amat tinggi.
Beliau berkata demikian kepada pihak media dalam satu sesi sidang media selepas majlis perasmian itu tadi.
“Pada hari ini, kami memperkenalkan MyAHB, satu aplikasi baharu dimana individu atau pelabur yang baru boleh melabur secara ‘direct’ kepada PHB melalui MyAHB.
“Ianya merupakan satu perkhidmatan digital yang kami sediakan kepada pelabur individu AHB,” tambahnya.
Bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat pendaftaran dan mengetahui lebih lanjut mengenai AHB, reruai AHB telah dibuka di Mayang Mall pada 19 Jun hingga 28 Jun 2025.
Untuk makluman, AHB adalah unit amanah patuh syariah pertama di Malaysia, diuruskan oleh PHB yang dilancarkan pada 29 November 2010 dengan permulaan 1 bilion unit.