Home Berita PAS Terengganu

Lebih 350 Peserta sertai Kejohanan Badminton Piala MB

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kejohanan Badminton Tertutup Piala Menteri Besar Terengganu berlangsung dengan penuh meriah apabila berjaya menarik penyertaan seramai 350 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.

Program tersebut telah dianjurkan oleh Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT) merangkumi lima kategori iaitu ‘Open’, ‘Novis C’, Bawah 15 Tahun (U15), Bawah 12 Tahun (U12) dan Bawah 9 Tahun (U9).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kejohanan berkenaan merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam menjayakan program Sukan Untuk Semua (SUS) yang bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia ke arah negara bersukan.

“Malah, kejohanan ini bukan sekadar satu acara sukan semata-mata, bahkan menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta mencungkil bakat-bakat baharu khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Badminton Tertutup Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Negeri, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ab Rasid Jusoh dan Pengarah UBSNT, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut menyatakan bahawa sambutan hangat rakyat Terengganu terhadap kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu membuktikan sukan badminton mempunyai kelompok peminat tersendiri di negeri ini.

“Saya percaya program seperti ini memberi impak langsung kepada pembangunan sukan dari peringkat akar umbi dan menjadi platform terbaik untuk melahirkan atlet masa depan dari Negeri Terengganu yang mampu mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa,” katanya.