Home Berita PAS Terengganu

Fatwa SIS : Semua negeri mesti bersatu – Dr. Khalil

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menggesa semua negeri di Malaysia bersatu mempertahankan akidah umat Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia yang dilihat membuka ruang kepada penyebaran fahaman sesat melalui institusi yang berselindung atas nama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan keputusan tersebut sebagai cabaran besar kepada usaha negeri dalam mengekang ideologi liberalisme dan pluralisme agama.

Beliau turut menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan fatwa terhadap fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

“Kami menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan status fatwa bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Ia juga mengesahkan bahawa ia sah dari sudut perlembagaan dalam konteks kuasa negeri seperti termaktub dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau dalam satu kenyataan media di laman sosial rasmi beliau hari ini.

Namun, beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila mahkamah memutuskan bahawa fatwa itu hanya terpakai ke atas individu dan bukan terhadap pertubuhan seperti SIS Forum Malaysia.

“Kerajaan Negeri Terengganu berkongsi rasa dukacita sebagaimana dizahirkan oleh DYMM Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor.

“Keputusan ini boleh mengundang kekeliruan kepada masyarakat awam terhadap apa yang dikira sebagai benar dan sah menurut ajaran Islam,” ujarnya.

Tambah beliau, penyebaran fahaman songsang melalui pertubuhan berdaftar yang membawa nama Islam amat berbahaya dan mesti ditangani dengan tegas.

“Perkataan ‘Islam’ tidak wajar disalah guna dalam nama syarikat atau pertubuhan yang membawa agenda bertentangan dengan prinsip syariah.

“Sebarang entiti sama ada individu, pertubuhan mahupun syarikat yang mengangkat fahaman ini perlu dihadapkan tindakan,” tambah beliau lagi.

Dr. Khalil turut menyokong pandangan penghakiman bertentangan (dissenting judgment) oleh YA Hakim Dato’ Abu Bakar Jais.

“Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menilai dan memutuskan isu sebegini.

“Pertubuhan yang ditadbir oleh individu Muslim tidak boleh dikecualikan daripada fatwa berkaitan,” jelasnya.

Beliau menyeru Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Kerajaan Persekutuan dan semua pihak berkepentingan untuk memperkukuh undang-undang serta mekanisme penguatkuasaan.

“Ini penting untuk membanteras penyebaran fahaman sesat melalui medium bukan individu.

“Kerajaan Terengganu komited memartabatkan syariah Islam serta mengukuhkan dakwah dan pendidikan akidah kepada masyarakat,” tegasnya.